Bermadu tak salah bahkan dalam agama Islam sendiri, tidak pernah mengharamkan untuk bermadu atau poligami.
Namun, ramai wanita yang menolak hal yang satu ini. Puncanya? Ya, memang dalam agama Islam dibenarkan tapi mereka yang mengamalkan poligami itu sendiri yang menyebabkan ia dipandang serong oleh masyarakat.
Si suami tak berlaku adil, si wanita bakal isteri kedua tidak menghormati isteri pertama bahkan menyebabkan rumah tangga dengan isteri pertama goyang. Itu semua menyebabkan ramai isteri menolak poligami.
Dalil Al-Quran:
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah An-Nisaa: Ayat 3)
Tak Semudah Disangkakan
Cakap mudah, buat pun mungkin mudah. TAPI nak melaksanakan benar-benar mengikuti yang agama Islam ajarkan amatlah tidak mudah!
Berapa ramai isteri yang tiada keadilan pada diri mereka. Selepas beristeri baru, isteri tua dan anak-anak diabaikan. Ada juga kes isteri pertama yang menyebabkan suami bersikap tidak adil kerana ingin ‘membolot’ suami untuk dirinya seorang sedangkan sepatutnya suami kena berlaku adil di antara isteri tua dan isteri muda.
Ada juga suami yang dirinya sendiri tak mampu berlaku adil pada isteri-isterinya. Misalnya lebihkan isteri muda.
Sebab itulah di dalam al-Quran sudah dinyatakan, kalau tak boleh berlaku adil, cukuplah nikah dengan seorang wanita saja.
Baca ini juga:
Bermadu Libatkan Soal Hati Antara Dua Wanita
Poligami mungkin melibatkan dua orang wanita, tiga orang wanita bahkan empat orang wanita kerana lelaki dibenarkan berkahwin hingga empat orang!
Jujur, wanita yang bergelar isteri pertama pasti sukar untuk menerima hakikat dirinya bakal dimadukan suami. Lebih-lebih lagi jika dia sudah memenuhi segala keperluan suami termasuklah memberikan zuriat untuk suaminya. Jadi, apa kekurangannya hingga suami kembali bermain cinta?
Ia berbalik pada soal hati dan perasaan yang memang sukar diduga. Okay. Ketepikan dulu dari sudut lelaki. Kita pandang dari sudut wanita-wanita yang bakal bermadu.
Masing-Masing Kena ‘Sedar Diri’
Sangat jarang (kalau pun ada, mereka spesies rare) ada wanita yang merupakan isteri pertama, benar-benar ikhlas menerima dirinya dimadukan. Tapi, mungkin terpaksa berkorban perasaan dan mengalah kerana masih sayangkan suami dan takut anak-anak kehilangan kasih sayang ayah bila bercerai. Ada juga sebab tak sanggup bergelar janda jadi mereka lebih rela memilih untuk dimadukan.
Seeloknya isteri pertama jangan ambil tahu soal bakal madunya kerana takut hanya menyakiti hati sendiri.
Bukan bermaksud pula wanita yang menjadi isteri kedua itu jahat. Tapi kadangkala kerana keadaan yang membuatkan mereka umpama perampas sedangkan mungkin punca adalah salah faham yang dicetuskan oleh si lelaki itu sendiri. Sana sini dia pusing supaya tak kantoi.
Sepatutnya suami yang perlu membina jambatan agar isteri-isterinya boleh berbaik. Tapi sebaliknya, dia sendiri yang jadi punca isteri-isteri tak berbaik. Memang suami itu dah gagal sebenarnya!
Rasa Hormat
Isteri kedua kena tunjukkan rasa hormat kepada isteri pertama kerana dirinya ‘orang baru’ yang ingin sama-sama menumpang kasih di bawah payung yang sama. Kalau perlu beralah, lakukan. Takkan merendahkan nilai diri.
Mungkin dengan cara ini membuatkan isteri pertama akhirnya dapat menerima isteri kedua dengan baik walau pun tidaklah rapat. Cukup andai masing-masing ‘menjaga sempadan’ masing-masing dan tidak saling bermusuhan.
Bermadu Banyak Cabarannya
Memang bermadu itu sangat besar cabarannya kerana sentiasa melibatkan emosi. Lebih baik jaga perasaan sendiri. Sepatutnya isteri-isteri kena pastikan suami berlaku adil pada mereka kerana tak kira isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat, hak mereka sama.
Cuma atas dasar isteri pertama lebih lama hidup dengan suami dan berkongsi susah senang bersama, jadi dia wajar diberikan sedikit keistimewaan sebagai tanda hormat padanya.
Walau pun tahu masing-masing ada hak yang sama, tapi tak salah beralah sedikit demi keharmonian hidup. Jangan sampai isteri muda berlagak seolah-olah dia isteri pertama! Kongkong suami hingga nak balik ke rumah isteri pertama pun susah, meminta-minta dengan suami supaya dia dapat lebih daripada isteri pertama. Tak elok tau!
Walau bagaimana pun, andai sudah tiada pagi persefahaman dan persepakatan, perceraian adalah jalan terbaik.