Hak isteri selepas diceraikan, tiap isteri mesti ambil tahu. Sememangnya tiada siapa yang berkahwin dan ingin bercerai. Bahkan, tiap pasangan yang berkahwin tentu ingin perkahwinan yang dijalani itu akan berkekalan hingga ke hujung usia.
Walau bagaimana pun, tak semua yang dirancang dan diimpikan itu menjadi kenyataan. Banyak rumah tangga yang berkecai di tengah jalan. Puncanya? Sudah pasti banyak punca yang menyebabkan berlakukan perpisahan di antara pasangan yang dulunya saling cinta mencintai itu.
Namun, apabila sudah tiada lagi sefahaman atau masing-masing sudah tak mampu untuk meneruskan kehidupan bersama, maka jalan terbaik sudah pastilah perceraian.
Hak Isteri Selepas Diceraikan
Ramai wanita yang selepas diceraikan teraniaya kerana mereka tidak tahu apa hak-hak mereka sebagai bekas isteri. Kalau dapat bekas suami yang jenis tahu tanggungjawab dan bertimbang rasa, okaylah.
Sebaliknya, kalau bekas suami yang jenis ‘lepas tangan’, bagaimana? Maka, tolonghlah para wanita di luar sana, ketahui hak-hak kita andai diceraikan.
Bukan doa, tapi ia sebagai peringatan buat kita agar diri tak dianiaya. Sila hadamkan segala info ini ye puan-puan sebagai makluman bersama.
Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah SWT telah menyatakan :
“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”. – ( Surah at-Talak : 6 )
Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.
Baca ini juga: Persatuan Suri Rumah Malaysia
Apa Hak Isteri Selepas Diceraikan
Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Tuntutan-tuntutan itu ialah:
1. Nafkah Idah.
Nafkah sepanjang tempoh idah adalah hak isteri selepas diceraikan. Itulah kewajipan yang tidak boleh dipinggirkan. Ini kerana, nafkah tersebut wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam tempoh idah raj’ie disebabkan sesuatu penceraian.
Nafkah idah merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut hukum syarak.
2. Mutaah.
Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberikan kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca daripada isteri dan bukan kematian suami.
Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah: “Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa”. – (Surah Al-Baqarah : 241)
Kadar mutaah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya terdapat pertikaian mengenainya, mahkamah akan menentukan kadar bayaran mutaah tersebut.
3. Harta sepencarian.
Hak isteri selepas diceraikan, ia merangkumi harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.
Baik suami mahupun isteri, harta sepencarian boleh dituntut di mahkamah yang ada bidang kuasa tersebut. Antara contohnya termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.
Segala tuntutan yang berkaitan dengannya hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Malah, isteri yang tidak bekerja juga berhak untuk menuntut harta sepencarian ini. Malangnya ramai yang tidak tuntut kerana tiada ilmu!
isteri yang tidak bekerja boleh dan mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian berdasarkan sumbangan tidak langsung. Sumbangan tidak langsung yang dimaksudkan merujuk kepada sumbangan isteri dalam menguruskan keluarga dan anak-anak sepanjang suami keluar bekerja.
Skop pengurusan keluarga ini merangkumi sumbangan isteri dalam menjaga harta suami dan memberikan sokongan serta dorongan kepada suaminya untuk berjaya dalam kerjayanya. Mudah kata, sumbangan daripada isteri yang tidak bekerja adalah pengurusan keluarga yang telah memudahkan urusan suami untuk keluar bekerja.
4. Hak Isteri Selepas Diceraikan; Tunggakan nafkah isteri dan anak.
Ketahuilah, andai suami tidak memberikan nafkah kepada isteri dalam tempoh perkahwinan, ia menjadi hutang kepada lelaki tadi. Maka, wajib bagi suami untuk melunaskannya sekalipun isteri tadi sudah diceraikan. Ia boleh dituntut di mana-mana mahkamah syariah.
Dalam perihal tunggakan nafkah anak pula, ia boleh dipohon kepada mahkamah apabila suami atau bekas suami gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh mahkamah syariah.
Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak berkenaan.
5. Hak jagaan anak (Hadanah).
Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai?
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,
“Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah s.a.w bersabda,“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”. – (Riwayat Abu Daud)
Hadis ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak daripada ayah. Berdasarkan kepada kiasan hadis tersebut ternyata orang perempuan lebih diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah diikuti oleh orang lelaki.
Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini kerana ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan lebih sabar dalam mengasuh anaknya daripada ayah.
Secara ringkasnya, hadanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.
Mengikut hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa, ibu ialah insan yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan).
Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.
Permohonan tuntutan hak jagaan anak itu hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
6. Nafkah anak.
Dalam Islam, hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi kewajiban orang tua memelihara dan memberi bekal ilmu kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari.
Firman Allah SWT:
“Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka”.
(Surah At-Talak : 6)
Dalam ayat yang lain Allah SWT menerangkan:
“Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang bapa kerana anaknya dan waris pun berkewajiban demikian”. – (Surah Al-Baqarah : 233)
Sekalipun ikatan suami isteri sudah terlerai, namun urusan nafkah anak tetap berjalan seperti biasa. Ini kerana ia merupakan sesuatu yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.
Nafkah anak itu termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya.
7. Hak isteri selepas diceraikan; Hutang perkahwinan.
Bagi mereka yang ada berhutang dalam perkahwinan misalnya berlaku penggadaian emas yang mana suami membuat pembiayaan atas nama isteri atau apa-apa sahaja jenis hutang-hutang berkaitan, ia boleh difailkan atas nama kes hutang perkahwinan.
Apa sahaja jenis hutang sepanjang tempoh perkahwinan boleh dituntut walaupun pasangan suami isteri itu sudah bercerai.
Selain daripada itu, seseorang isteri boleh membuat tuntutan hutang ke atas bekas suaminya jika didapati bekas suaminya tidak membayar mas kahwin, tidak memberi saraan hidup ketika dalam tempoh perkahwinan, tunggakan nafkah anak dan sebagainya.
Andai hutang tersebut melibatkan mas kahwin, maka wanita tadi perlu memfailkan kes hutang mas kahwin.
Baca ini juga: Wanita kuat demi anak-anak
Prosedur Membuat Tuntutan Hutang
Untuk memudahkan mendapat hak-hak tersebut adalah lebih baik menggunakan khidmat peguam. Bagi mereka yang tidak mampu menggunakan khidmat peguam, bolehlah membuat permohonan kepada Biro Bantuan Guaman. Semua permohonan itu dibuat kepada Pendaftar Mahkamah Syariah.
Kesimpulan
Sebenarnya cara yang paling baik untuk menyelesaikan hak-hak itu ialah secara perundingan antara suami dan isteri. Penyelesaian secara rundingan ini menjimatkan masa, tidak menyusahkan anak-anak dan dapat menjimatkan wang. Jika tidak ada pilihan lain barulah dibawa ke Mahkamah Syariah.
Apa yang penting ialah hak-hak itu hendaklah dituntut, jika mempunyai alasan yang cukup.
Islam adalah agama yang adil dan memberi hak pembelaan yang cukup kepada kaum wanita. Oleh itu tidak timbul soal Islam menindas kaum wanita. Apa yang ada ialah wanita Islam itu sendiri bersikap lemah kerana tidak menggunakan kesempatan yang luas itu untuk kepentingannya.
Sumber: https://jksnpp.penang.gov.my/index.php/18-penerbitan-mahkamah/86-hak-wanita-selepas-perceraian