Kelebihan Amal Istighfar, Jadi Kunci Penyelesai Masalah

Kelebihan amal istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT boleh menjadi kunci kebahagiaan seseorang dalam hidup. Sebagai manusia, hidup kita tidak lari daripada sentiasa diuji oleh Allah tetapi sebagai hamba yang percaya kepada rukun Iman, kita wajib melaluinya dengan sabar.

Setiap ujian adalah hadiah dari Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Tanda kita beriman dan sabar dengan ujian, laluinya dengan reda dan sabar.

Amalan beristighfar dan sentiasa bertaubat memohon keampunan pada Allah juga salah satu cara kita boleh bertenang dan reda melalui ujian dariNya.

Bagaimana mungkin dengan sentiasa bertaubat dan beristighfar kita mampu menghadapi segala masalah dengan tenang?

Kelebihan amal istighfar dan bertaubat

kelebihan amal istighfar
Photo by Thirdman from Pexels

Menurut Imam Muda Hassan, istighfar menjadi antara kunci ‘menjemput’ rezeki yang sangat kuat kerana banyak petunjuk menunjukkan Allah SWT menurunkan rezeki kepada orang yang sentiasa beristighfar, bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Beliau berkongsi kisah ulama salaf terkemuka Imam Hasan al-Basri yang sering menjadi tumpuan orang ramai merujuk bagi menyelesaikan pelbagai masalah.

Semua masalah yang dirujuk kepadanya, Hasan al-Basri akan menyuruh supaya orang itu beristighfar. Bingung melihat perkara itu, seseorang bertanya kepadanya apakah semua masalah boleh selesai hanya dengan istighfar.

Hasan al-Basri menjawab, ia bukan penyelesaian yang beliau berikan tetapi firman Allah SWT dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anakmu dan mengadakan untukmu kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?” (Nuh: 10-13)

BACA: Tertib Doa Yang Seeloknya Diamalkan Untuk Memohon KepadaNya

Bagaimana mungkin kita sebagai manusia yang banyak melakukan dosa ini mesti sentiasa beristighfar dan bertaubat kepadaNya, sedangkan Nabi S.A.W yang maksum dan dijanjikan syurga sendiri beristighfar dengan penuh tawaduk sebanyak 70 hingga 100 kali sehari.

Usaha & ikhtiar memohon keampunan

Sebagai hambaNya, kita kena percaya segala percaya semua rezeki, jodoh dan ajal adalah rahsia Allah SWT. Bagaimanapun kita tetap boleh berusaha, berikhtiar, berdoa dan bertawakal memohon yang baik-baik sebagai kebergantungan kepada-Nya.

Sebagai hamba, kita perlu berusaha walaupun tanpa mengetahui hasilnya kerana keyakinan dan kebergantungan kepada Allah SWT.

Sekiranya Allah SWT mahu menukar takdir hamba-Nya, ia boleh sahaja kerana itu menjadi hak-Nya. Tugas hamba adalah melakukan setiap suruhan-Nya, jangan berputus asa dan bersangka buruk kepada-Nya.

Perbanyak istighfar memohon keampunan

Imam Hassan mengambil contoh kepada kisah Imam Ahmad Hanbal dengan penjual roti. Beliau yang bermusafir, singgah di satu perkampungan dan berniat untuk tumpang bermalam di masjid tetapi tidak dibenarkan kerana beliau orang luar.

Kebetulan, penjual roti bertanya kepada Imam Ahmad dan apabila dimaklumkan keadaannya, lelaki itu mengajaknya ke rumah. Pada malamnya, Imam Ahmad mendengar penjual roti beristighfar sambil membuat roti.

Pada siangnya, Imam Ahmad bertanya kenapa beliau beristighfar sepanjang membuat roti, lelaki itu berkata, beliau banyak dosa kerana Allah SWT mengurniakan pelbagai rezeki tetapi satu doanya belum termakbul.

Mohd Hassan berkata, penjual roti itu teringin berjumpa ulama besar, iaitu Imam Ahmad. Mendengar jawapan itu, Imam Ahmad memberitahu, beliaulah orang yang ingin ditemuinya itu.

“Allah mengaturkan Imam Ahmad untuk tidur di rumah penjual roti itu. Begitulah hebatnya kuasa istighfar. Oleh itu, apabila diberi nikmat, itu adalah kurniaan Allah dan andai tidak dapat apa yang diinginkan, jangan sekali-kali menyalahkan Allah sebaliknya bermuhasabah diri,” katanya.

“Sebenarnya kita yang zalim kepada diri. Jika ada yang rasa dia tidak bersalah atau tidak berdosa, itu satu masalah besar. Perbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah SWT semoga kita dimurahkan rezeki, lakukan dengan penuh penghayatan,” katanya.

Leave a Comment!

error: Content is protected !!