Usia Makin Meningkat, Hidup Pun Nak Tenang-Tenang Je!

Usia makin meningkat, banyak perubahan yang akan terjadi selari dengan pertambahan usia. Mungkin juga perubahan itu yang tak pernah diri kita sendiri rancang atau duga sebelumnya.

Usia Makin Meningkat, Lebih Sabar

Kata orang, kalau dulu waktu muda, hati asyik membara. Kurang sabar. Pantang dicuit..mak aii. Melawan saja! Mulut pun tak ada insurans kata orang. Tak peduli perasaan orang lain, asal diri rasa puas. Walau pun sedar diri ramai yang tak suka, tapi tak peduli. Lantaklah.

Waktu muda juga hidup asyik fikir nak seronok je. Kesihatan tak dijaga. Tak risau apa, sebab badan masih sihat.

Tapi itu dulu, waktu masih darah muda. Sebaliknya, bila usia menginjak ke akhir 30-an, ramai yang mula berubah. Kalau dulu asyik nak menang, kini dah ada rasa malas nak cari gaduh. Lebih banyak diam diri dan cuba daripada terjerumus ke dalam konflik.

Tak nak cari musuh

Bila usia makin bertambah, sikap pun dah lain. Kalau dulu garang dan tegas, kini makin lembut dan lebih bertolak ansur. Memang menggelakkan diri daripada perbalahan dengan sesiapa saja. Pada usia sebegini, dah malas nak cari musuh. Walau pun bukan semua orang suka kita, tapi sekurang-kurangnya tak sengaja cari pasal dengan kita.

Baca di sini juga:

Usia Makin Meningkat, Rasa Penat

Usia makin meningkat, kita mula rasa ‘penat’ dengan kehidupan dulu yang tak keruan. Fikir nak hidup aman damai, melihat anak-anak membesar depan mata, melakukan hobi yang disukai dan lebih sayangkan diri sendiri, iaitu dengan lebih menjaga kesihatan.

Waktu inilah mungkin ramai yang ambil keputusan untuk berhenti kerja atau bertukar karier kepada yang lebih kurang mendatangkan tekanan pada diri mereka. Rasa ‘kasihan’ pada diri sendiri yang tak asyik bekerja selama ini hingga kadangkala terabai kesihatan dan masa bersama keluarga.

Mental Lebih Stabil

Apabila usia makin meningkat, sekitar 30-an, mental kita juga semakin stabil dan lebih seimbang. Fokus kita adalah untuk hidup lebih bahagia dan lebih matang dalam mengharungi dugaan yang mendatang.  

Lebih Memilih Dalam Berkawan

Kalau masa muda, kita seronok ada kawan-kawan yang ramai. Lagi ramai, rasa diri lagi hebat. Tapi bila usia dah meningkat kita dah tak pentingkan semua itu.

Bahkan, kita lebih memilih dalam berkawan dan lebih rela dikelilingi kawan yang sedikit tapi sentiasa ada untuk diri kita. Bukan kawan waktu nak enjoy atau waktu senang saja.

Kita juga mula akan menjauhkan diri daripada kawan-kawan yang ‘toksid’ atau yang memberikan aura negatif dalam kehidupan kita.

Kejar akhirat

Jika pada waktu muda, kita lebih pentingkan keseronokan dalam hidup, tapi bila usia semakin meningkat, kita mula memikirkan untuk menambah bekalan amalan untuk dibawa ke akhirat nanti.

Memanglah ajal tak mengira usia, namun ketika muda kita tak ambil peduli kerana berasakan kehidupan masih panjang.

Bila usia makin meningkat, kita lebih fokus dengan amalan. Jika dulu jarang mengerjakan solat sunat, tapi kini mula istiqamah melakukannya. Begitu juga amalan sedekah. Akan cuba diamalkan setiap hari.

Sememangnya rugi andai usia yang bertambah tak seiring dengan pertambahan amalan kita. Memang sukar nak memulakan sesuatu yang baru tapi kena paksa diri agar tidak menyesal kelak.

Belajar Bersyukur

Selain itu, kita kena belajar untuk sentiasa rasa bersyukur dengan apa yang kita miliki. Kena tanam sifat syukur dalam diri.

Dengan itu, kita akan rasa lebih bahagia dan tenang dalam hidup. Penat sebenarnya bila kita asyik mengejar sesuatu yang sukar untuk kita gapai. Atau sekadar nak berlumba dengan orang lain. So, cukup-cukuplah!

Leave a Comment!

error: Content is protected !!