Beli Gold Bar Atau Barang Kemas Sebagai Pelaburan?

Beli gold bar atau barang kemas sebagai pelaburan sering jadi dilema ramai orang. Tentu persoalan ini banyak bermain di fikiran ramai ketika harga emas diumumkan menurun berbanding sebulan lepas.

Harga emas hari ini adalah RM236.09 per gram berbanding RM285 per gram bulan lepas masa Kak Suri beli gelang emas.

Kak Suri percaya mesti yang dah terbeli awal bulan lepas rasa geram kan. Yelah sebab minggu ni tau-tau harga emas turun pula. Jadinya mesti ramai kaum suri berebut-rebut nak beli emas time harga murah sikit ni.

Tapi ada juga yang keliru sama ada bagus atau tak membeli emas ketika ini? Maklumlah dalam keadaan ekonomi rumah tangga baru nak kembali pulih bila kerajaan dah umumkan banyak sektor ekonomi kembali beroperasi.

Selain daripada tu, ada juga golongan suri yang tak berapa gemar memakai barang kemas tapi teringin juga membeli emas sebagai pelaburan.

Jadinya masing-masing berada dalam dilema sama ada nak beli gold bar atau barang kemas ketika harga emas sedang menurun.

Beli gold bar atau barang kemas?

Photo by Michael Steinberg from Pexels

Kalau tanya kaum suri, dua-dua ni mereka nak ada. Satu nak pakai sebagai perhiasan, satu lagi nak simpan buat pelaburan. Gitu kan?

Kak Suri tak pandai sangat bab-bab nak ulas emas ni. Jadi ni Kak Suri share perkongsian daripada Akhtar Syamir yang pakar dalam bab pelaburan emas sebagai panduan bersama.

Soalan pertama, nak beli emas untuk apa?

Jika untuk simpanan, kedua-duanya bagus. Beli emas tak pernah salah. Yang salah ialah ada duit tapi tak beli emas.

Jika untuk pelaburan, kedua-duanya juga bagus tetapi di dalam jangka masa yang panjang. Tidak semestinya 1 tahun. Kadang-kala 2 atau 3 tahun baru ada perbezaan. Sebagai contoh sekarang apabila harga emas kembali turun. Ini bermakna, jika anda beli emas pada beberapa bulan yang lalu, anda masih belum untung dari segi nilai duit.

Jika untuk perhiasan, orang yang senget sahaja akan pakai gold bar letak kat jari atau cuping telinga. Kalau nak buat loket mungkin tiada masalah, tapi macam takde erti. Jadi, untuk perhiasan terutamanya wanita, belilah barang kemas.

Soalan kedua, adakah anda lelaki atau wanita?

Jika anda seorang lelaki, satu soalan susulan saya perlu tanya. Adakah anda ada isteri atau tiada?

Jika anda seorang suami, saya nasihatkan anda beli barang kemas. Bagi sahaja isteri pakai. Kenapa tidak beli gold bar?

Kerana barang kemas boleh beri apa yang gold bar beri, tetapi gold bar tidak boleh beri apa yang barang kemas boleh beri pada isteri iaitu kegembiraan, rasa dihargai, rasa cantik, rasa yakin dan segala rasa yang membuatkan senyuman dia meleret.

Ini bagi saya satu nilai bonus yang anda dapat apabila anda membeli barang kemas. Selain dapat menyimpan, anda juga dapat tengok pelaburan anda tergantung-gantung di sebelah sewaktu keluar atau di dalam rumah.

Gold Bar tak boleh dipakai

Jika anda beli gold bar sahaja, bagi saya anda sangat rugi kerana anda terlepas peluang percuma untuk menggembirakan isteri. Gold bar akan disimpan di dalam album dan diletakkan di suatu sudut. Mungkin sebulan sekali anda belek dan rasa puas hati kerana berjaya ada simpanan emas.

beli gold bar
Photo by Dayvison de Oliveira Silva from Pexels

Tetapi apabila membeli barang kemas, kesannya setiap masa, setiap hari dan setiap ketika. Bayangkan masa isteri hulur nasi pun anda nampak pelaburan dan simpanan anda. Berkilau-kilau nasik lauk singgang ikan dengan budu anda. Hebat kan?

Takkan nak beli barang kemas je? Berapa banyak nak beli, jari ada 5 je, leher ada 1, pergelangan tangan ada 2, cuping telinga ada 2, pergelangan kaki ada 2 je. Kalau semua dah penuh, nak pakai kat mana?

Tak perlu risau bab tu, pandailah si isteri sesuaikan nak pakai yang mana, di mana dan masa bila. Tak salah pun ada pelbagai jenis dan rekaan. Belikan je kotak simpan barang kemas dan tengok simpanan anda semakin lama semakin memenuhi kotak.

Jenis tak suka pakai emas

Namun, ada para isteri yang “saya tak suka pakai emas”. Manusia kan diciptakan berbeza-beza? Tak salah pun kalau tak suka pakai emas.

Kalau di kategori ini, selalunya orang sebegini tidak suka rekaan yang besar atau terlalu terperinci. Jadi, nasihat saya beli barang kemas yang padu. Selalunya rekaan yang padu ini sangat ringkas tetapi berat. Contohnya rantai Gajah atau Dunhill yang padu. Beli sahaja satu yang 50 gram ke atas. Tak perlu dah nak beli yang cincin 20 bentuk untuk sampai ke 50 gram.

Ada juga yang gatal-gatal bila pakai barang kemas atau risau nak pakai emas. Ini ada dua pilihan. Sama ada beli juga barang kemas dan simpan, hanya pakai sekali sekala atau beli sahaja gold bar. Selesai masalah.

Mengenai soalan tentang jantina tadi. Jika anda seorang wanita pula, ada juga satu soalan susulan. Minat pakai barang kemas atau tidak? Jika ya, belilah barang kemas semampu yang boleh. Jika tidak, belilah gold bar dan simpan. Nak simpan dua-dua pun tiada masalah.

Soalan seterusnya, adakah anda seorang isteri. Jika ya, belilah barang kemas sebanyak yang boleh. Pakailah supaya anda sentiasa cantik, menarik dan gembira. Barang kemas juga boleh digunakan apabila keadaan memaksa. Sama ada di masa yang memerlukan untuk membeli barang keperluan atau untuk membeli benda lain yang lebih penting.

Ingatlah, emas sangat berguna dan sangat mudah dicairkan tak kira barang kemas atau gold bar.

Gold bar atau barang kemas, zakat jangan lupa bayar

Kemudian kita masuk pula bab Zakat Emas. Zakat Emas wajib dibayar apabila sudah sampai kadar uruf yang ditetapkan mengikut negeri. Ada dua kategori iaitu emas perhiasan (yang dipakai) dan emas bukan perhiasan (yang disimpan atau tidak dipakai).

Kadar uruf emas bukan perhiasan untuk seluruh negeri dalam Malaysia ialah 85 gram. Gold bar secara automatiknya masuk di dalam kategori emas bukan perhiasan. Jadi, jika anda ada gold bar seberat 100g, kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab 2.5%. Dapatlah amaun zakat emas bukan perhiasan yang anda wajib bayar.

Untuk kadar uruf emas perhiasan pula berbeza mengikut negeri. Jika anda tanya mengapa, ini ada kena mengena dengan maksud uruf itu sendiri iaitu “adat kebiasaan”. Mungkin ada negeri-negeri yang sangat sinonim dengan emas, jadi kadar urufnya lebih tinggi berbanding negeri yang lain.

Untuk negeri Selangor contohnya, kadar uruf emas perhiasan ialah 800 gram. Jadi, apa yang lebih dari 800 gram itulah yang wajib dibayar zakatnya. Sebagai contoh emas perhiasan anda ada 900 gram, jadi 900 – 800 akan jadi 100 gram. Kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab dengan 2.5%. Dapatlah nilai zakat emas perhiasan yang wajib dibayar.

Mudah bukan? Di sini saya senaraikan kadar uruf mengikut negeri. Ada kebarangkalian kadar ini ada pindaan, sila dapatkan kepastikan di pusat zakat negeri anda.

Selangor, Kuala Lumpur = 800g
Johor, Terengganu = 850g
Perak, Pahang = 500g
Negeri Semilan = 200g
Melaka = 180g
Kedah = 170g
Pulau Pinang = 165g
Sabah = 152g
Sarawak = 90g
Perlis = 85g
Kelantan = Tiada uruf

Kepelbagaian cara menyimpan emas

beli gold bar
Photo by Git Stephen Gitau from Pexels

Kemudian masuk bahagian kepelbagaian. Dari segi mudah untuk menyimpan dan kepelbagaian pemakaian. Jika untuk perhiasan memang barang kemas paling mudah dipelbagaikan. Untuk kepelbagaian cara menyimpan, kedua-duanya mudah.

  1. Untuk gold bar, boleh sahaja beli yang 1 gram. Harganya pun ikut harga semasa. Untuk barang kemas, ada sahaja cincin, subang atau charm yang beratnya kurang dari 1 gram.

2. Ada juga skim simpanan emas dari bank ternama yang boleh tambah ikut kemampuan dan anda tak perlu pegang emas pun. Ini pun boleh beli bawah 1 gram.

Jadi, yang mana satu patut beli? Tepuk dada tanya selera. Kedua-duanya tak salah jika anda mampu. Namun, saya secara peribadi lebih berminat untuk membeli barang kemas berbanding gold bar buat masa ini kerana ia memberi kebahagiaan dan kegembiraan buat isteri saya di samping dapat buat simpanan.

Yang penting, beli dan simpan emas. Bagus untuk simpanan, baik untuk pelaburan dan salah satu medium yang menggembirakan.

Seperti yang saya kata sebelum ini. Beli emas tak salah, yang salah adalah apabila ada duit tapi tak beli emas.

Tip untuk kumpul barang kemas dengan nilai yang kecil. Beli cincin. Belilah banyak-banyak bentuk pun. Asalkan cincin emas dan beli di kedai yang tiada upah. Semoga dapat membantu anda membuat keputusan.

Baca juga: Simpanan Emas Bayar PTPTN. Ini Caranya Paling Efisien

Comments 2 Responses

  1. Netty September 19, 2021
  2. Mama Reen September 19, 2021

Leave a Comment!

error: Content is protected !!