Cara Buang Karang Gigi Secara Semula Jadi

Cara buang karang gigi. Penampilan cantik dan bergaya sahaja tak cukup kalau kebersihan mulut tidak dijaga. Tahukah anda selain memastikan wajah cantik bermekap, kebersihan mulut juga mesti diutamakan.

Bayangkan dengan wajah cantik bersiap tiba-tiba bila bercakap mulut berbau atau gigi kuning lengkap dengan karang gigi. Oh, sudah tentu ramai yang kurang selesa nak bercakap dengan kita nanti.

Jangan main-main bab kebersihan mulut sebab ia boleh jadi punca bermacam perkara negatif. Selain masalah mulut berbau, gigi penuh karang juga menjadi antara masalah yang menyebabkan ketidakselesaan untuk bercakap dengan orang.

Jangan keliru dengan plak gigi kerana keduanya adalah perkara yang berbeza. Menurut Dr Marini Ismail dalam dalam The Malaysian Medical Gazette, plak gigi merupakan satu lapisan biofilm yang lembut tidak berwarna mengandungi pelbagai jenis bakteria yang berada di permukaan gigi , tampalan (contohnya korona), gigi palsu, lidah dan dicelah-celah gigi.

Plak gigi sememangnya terjadi setiap masa. Sekiranya plak terkumpul tanpa dibersihkan ia kelihatan seperti putih atau kekuningan dan bakteria-bakteria yang berada didalamnya menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan pada gusi dan membuatkan gusi mudah bengkak dan berdarah.

Selain itu, plak gigi juga boleh menyebabkan kerosakan gigi seperti karies gigi dan masalah lain seperti halitosis (nafas berbau busuk) sekiranya plak gigi bercampur dengan makanan yang melekat pada gigi .

Sekiranya anda mengabaikan penjagaan kebersihan mulut, plak gigi yang terkumpul akan menebal. Plak gigi ini bercampur dengan sisa makanan dan air liur dan kemudiannya akan mengeras dan terbentuklah karang gigi.

Cara buang karang gigi. Apakah karang gigi?

Apakah sebenarnya karang gigi? Karang gigi biasanya terbentuk dicelah-celah antara gigi. Permukaan karang gigi yang kasar ini menyebabkan peningkatan pengumpulan plak gigi. Sekiranya masalah karang gigi dibiarkan berlarutan tanpa dibersihkan, ia boleh mengakibatkan masalah gusi yang dipanggil periodontitis yang akhirnya menyebabkan gigi goyang dan terpaksa dicabut.

Rawatan membuang karang gigi tidak berkesan jika hanya melalui pemberusan gigi sahaja. Karang gigi hanya boleh dibersihkan dengan rawatan pengskaleran oleh doktor gigi.

Bagaimanapun ada cara semula jadi yang boleh diamalkan bagi membantu mengurangkan karang gigi sebelum anda membuat appointment berjumpa doktor gigi.

Cara buang karang gigi di rumah

Sebelum karang gigi makin merebak pastikan anda kerap mengamalkan cara-cara berikut untuk menjaga kesihatan gigi. Jika dah makin teruk teruslah buat janji temu dengan doktor gigi di klinik ye.

cara buang karang gigi
Photo by Sora Shimazaki from Pexels

1. Rajin guna floss

Salah satu cara membuang karang gigi adalah dengan menggunakan benang (dental floss). Produk ini sangat berkesan untuk membersihkan celah-celah gigi yang sukar terjangkau oleh berus gigi. Gosoklah benang floss secara perlahan-lahan dari bawah ke atas supaya sisa makanan yang terselit celah gigi terkeluar semuanya.

2. Rajin membersihkan lidah

Korang tahu tak yang 50% bakteria di mulut akan berkumpul pada permukaan lidah. Campuran air liur dan bakteria dapat membentuk plak di atas permukaannya. Maka sebab tu kita kena rajin membersihkan lidah dengan cara menggosoknya perlahan-lahan dari pangkal paling dalam ke depan dalam satu gerakan.

Lakukan beberapa kali gerakan satu arah ini hingga lidah bersih atau kesat. Kemudian bilas sisa kotoran dengan berkumur menggunakan air atau mouth wash.

3. Berhenti merokok cara mudah buang karang gigi

Cara paling mudah untuk menghilangkan karang gigi adalah dengan berhenti merokok.

Selain menyebabkan gangguan fungsi jantung dan paru-paru, merokok juga dapat menyebabkan masalah gigi dan mulut. Bahkan kandungan bahan kimia dalam rokok dapat merangsang pembentukan karang gigi.

4. Guna baking soda

Baking soda yang ada di dapur korang pun boleh jadi bahan semula jadi membantu mengurangkan karang gigi. Gunakan ia sebagai ubat gigi semasa menggosok gigi. Ini caranya yang sangat mudah:

  • Campurkan 1 sudu besar baking soda dengan secubit garam.
  • Gaul sebati, kemudian celupkan berus gigi ke dalamnya.
  • Berus gigi seperti biasa selama lebih kurang 2 minit.
  • Kumur dengan air bersih.

5. Cara buang karang gigi guna kulit limau

Petua semula jadi ini tak salah kalau hendak dicuba. Korang hanya perlu gosok gigi menggunakan kulit limau pada waktu malam dan biarkan. Esok pagi bangun kumur dengan air bersih.

6. Guna daun sireh

Selain boleh mengurangkan karang gigi ia juga boleh menghilangkan bau mulut. Caranya tumbuk sehelai daun sireh dengan bunga cengkih sampai halus. Amalkan kunyah campuran bahan tersebut secara rutin setiap hari untuk kesan efektif.

7. Amal ambil vitamin C

Vitamin C terkenal sebagai suplemen bagus untuk menjaga kesihatan gigi dan mulut. Jadi amalkan pengambilan vitamin C secara konsisten setiap hari.

8. Rajin minum air masak

cara buang karang gigi

Amalan minum air masak setiap hari juga membantu mengurangkan masalah karang gigi.

Air liur berfungsi untuk menjaga kelembapan mulut dan menggugurkan plak dan sisa-sisa makanan yang ada di permukaan gigi memang salah satu cara buang karang gigi

Enzim yang terkandung dalam air liur juga dapat membantu melawan bakteria penyebab jangkitan di mulut.

9. Rajin makan sayur dan buah-buahan

Kita sedia maklum amalan makan sayur dan buah memang bagus untuk kesihatan tubuh badan. Rupanya ia juga bagus untuk menghilangkan karang gigi kalau konsisten mengunyah buah dan sayur setiap hari.

10. Berkumur dengan minyak kelapa

Ini merupakan petua tradisional yang cukup popular di India. Bahan kumuran boleh menggunakan sama ada minyak kelapa asli, minyak zaitun atau minyak almond.

Caranya membuatnya adalah seperti berikut:

  • Ambil satu sudu besar minyak kelapa
  • Masukkan ke mulut dan gunakan untuk berkumur selama 5-10 minit
  • Buang minyak dari mulut lalu bilas dengan air bersih

Baca: 20 Azam Tahun Baru Yang Mungkin Boleh Dicapai

Leave a Comment!

error: Content is protected !!