Daging masak merah ala Thai antara makanan yang digemari ramai. Selain itu, kebiasaannya orang lebih suka daging lembu berbanding daging kambing yang kalau tak kena acara penyediaannya, memang hamis baunya! Itu yang buat ramai tak suka.
Pelbagai masakan boleh dimasak menggunakan daging lembu. Daripada masakan kering sehinggalah yang berkuah.
Apa Khasiat Daging?
Daging merupakan salah satu sumber protein yang baik. Secara perbandingan, kandungan protein dalam lembu dan kambing adalah tidak jauh beza, tetapi kandungan lemak mungkin berbeza.
Dari sudut kalori dan lemak, lembu adalah pilihan yang lebih sihat berbanding kambing. 100 gram daging lembu mengandungi 217 kalori, 26.1 gram protein dan 4.2 gram lemak berbanding kambing yang mengandungi 258 kalori, 25.6 gram protein dan 8.8 gram lemak.
Namun demikian, pengambilan daging perlu dikawal. Dalam erti kata lain, kuantiti yang diambil perlu secukupnya saja.
Kuantiti yang disarankan kepada golongan dewasa untuk gabungan pengambilan daging atau ayam atau telur adalah separuh hingga dua hidangan dalam sehari.
Antara kebaikan memakan daging ialah menguatkan jisim tulang, mencegah anemia, sumber kompleks vitamin B, mempercepatkan penyembuhan luka dan banyak lagi.
Boleh Makan, Tapi Kawal Pengambilannya
Pakar dalam bidang pemakanan sihat tidak mengesyorkan memakan daging lembu lebih daripada tiga kali seminggu. Dagingnya lebih mudah dicerna dan tidak akan meninggalkan rasa berat jika anda memakannya bersama dengan sayur-sayuran segar .
Namun, sekiranya makan berlebihan, dikhuatiri boleh mendorong kepada pelbagai jenis penyakit kronik seperti komplikasi sistem kardiovaskular, peningkatan kolesterol yang kritikal dan banyak lagi. So, makan biarlah berpada-pada ye.
Okaylah. Berbalik kepada resipi kita, kali ini Suri nak kongsikan resipi daging masak merah ala-ala kat kedai tomyam yang pasti ramai peminatnya.
Air Rebuskan Rahsia Kesedapannya
Nak tahu apa rahsia nak bagi daging masak merah itu lagi sedap? Ha..jangan buang air rebusan daging sebaliknya masukkan bila memasak nanti.
Selain itu, rebus dengan sedikit hirisan halia untuk menghilangkan bau hamis daging. Selamat mencuba!
Resipi lain di sini:
DAGING MASAK MERAH
BAHAN-BAHAN:
1kg daging – rebus, letak sedikit pewarna merah dan hirisan halia
7 ulas bawang putih – cincang halus
2 inci halia – hiris halus
1 biji bawang Holland – hiris
Kacang panjang – potong
6-9 batang cili padi
1 biji tomato – potong
2-3 sudu cili kisar
2-3 sudu makan sos tiram
2 sudu makan sos cili
2 sudu makan sos tomato
2-3 sudu makan sos ikan Tiparos
Garam – jika perlu
Air rebusan daging
Minyak masak
CARA MEMASAK DAGING MASAK MERAH:
Mula-mula, rebus daging hingga empuk. Masukkan hirisan halia dan pewarna merah ke dalamnya. Kalau tak ada pewarna, boleh guna pati sirap. Angkat dan toskan daging. Setelah sejuk, hiris nipis. Ketepikan.
Di dalam kuali, panaskan sedikit minyak. Tumis hirisan bawang putih dan halia hingga terbit wangi.
Masukkan pula cili kisar dan gaul sekata. Setelah itu, masukkan sos tomato, sos cili dan sos tiram. Kacau sebati.
Kemudian masukkan hirisan tomato, diikuti daging yang telah dihiris. Gaul.
Masukkan pula hirisan bawang Holland, hirisan cili padi dan kacang panjang. Gaul sebati.
Seterusnya, masukkan sos ikan dan air rebusan daging. Kalau nak lebih berkuah, letak lebih. Gaul sekata.
Angkat dan sedia dimakan dengan nasi panas. Ratah gitu pun boleh. Yummy!!