Sambal sotong petai, aduduh! Memang sedap. Sesuai dimakan dengan nasi lemak atau pun salah satu lauk untuk dimakan bersama nasi putih.
Tapi, bagaimana caranya supaya sotong kekal gebu, tak kecut dan tak liat? Ha…ini Suri nak kongsi. Senang je sebenarnya.
Kalau kita biasa masak sotong, tentu sedia maklum, sotong akan mengeluarkan air bila dimasak. Ia juga tak boleh dimasak terlalu lama takut nanti liat. Selain itu ia akan jadi ‘kecut’.
Goreng Tanpa Minyak
Oleh itu, nak buat sotong kekal gebu dan tak kecut, kena goreng tanpa minyak terlebih dahulu, barulah disambal. Ketika digoreng, sotong akan keluarkan air. Angkat sotong dan tapis setelah ia agak masak.
Memandangkan sotong sudah separuh masak, bila dimasukkan ke dalam sambal, tak perlu masak terlalu lama. Ikut cara ini, gerenti sambal sotong kita lebih gebu dan sedap!
Oh ye. Kehadiran petai di dalam apa jua jenis masakan memang tak pernah mengecewakan. Petai menambah keenakan sambal sotong yang dimasak ini. Cubalah. Rugi tak cuba tau!
Oh ye. Jangan lupa buang kulit nipis di bahagian luar sotong kerana dikatakan di bahagian itulah yang mengandungi kolesterol yang tinggi. Wallahualam.
SAMBAL SOTONG PETAI
BAHAN-BAHAN:
1kg sotong – potong, bersihkan
10 batang cili merah besar – ikut kepedasan yang diingini
3-4 sudu cili giling – ikut kepedasan yang diingini
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 labu bawang Bombay – Racik kasar
Sedikit belacan – bakar
Garam dan gula
Sedikit air asam jawa
Minyak masak
CARA MEMASAK SAMBAL SOTONG PETAI:
Mula-mula, kisar bawang putih, bawang merah dan cili merah besar. Ketepikan.
Sediakan kuali, goreng sotong tanpa minyak sehingga keluar air dan sotong agak masak. Angkat sotong.
Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bahan yang dikisar tadi dan cili giling kisar. Gaul sebati dan goreng hingga terbit minyak.
Masukkan hirisan Bawang Bombay dan sedikit belacan yang telah dibakar (jika suka). Lagi banyak bawang lagi sedap kerana ia manis. Kemudian masukkan air asam jawa, garam dan gula secukupnya. Kacau sambal itu perlahan-lahan agar sebati. Check rasa sama ada sudah cukup masam, masin, manis dan pedasnya.
Setelah itu, masukkan petai yang telah dibuang kulit dan sotong. Gaul sebati.
Tutup api, angkat dan sedia dihidangkan. Mudah je kan?