Resepi pisang muda masak lemak cili padi ini memang cukup simple. Bahan yang digunakan juga tak banyak. Tapi, rasanya dijamin sedap, kuahnya pun pekat melekat!
Dikatakan untuk memasak masak lemak cili padi pisang muda, pisang yang paling sesuai digunakan ialah Pisang Lemak Manis. Tapi, boleh juga nak guna pisang lain kalau memang dah tak ada kan.
Pisang ini juga sesuai dan sedap untuk dimakan mentah, rasanya lebih kurang macam pisang emas. Bolehlah dimakan sebagai kudapan sihat.
Namun, dikatakan jantungnya tidak sesuai untuk dijadikan ulam kerana pahit. Lebih sesuai daripada jenis pisang Sematu dan pisang Siam jika hendak membuat ulam jantung.
Sebelum masak, apa kata kita ketahui serba sedikit khasiat pisang. Di Malaysia, sebenarnya terdapat banyak jenis pisang termasuklah Pisang Tanduk, Pisang Emas, Pisang Abu, pisang Awak, Pisang Nangka dan banyak lagi.
Tapi, apa pula khasiat pisang? Jom kita semak. Penting juga tahu khasiatnya, jangan makan je tau!
Khasiat Pisang
Sebenarnya banyak khasiat pisang kepada kita dan yang selalu kita dengar tentunya ia membantu masalah sembelit. Makan pisang dalam 2-3 biji dah senang nak membuang. Bahkan ia membantu melegakan masalah cirit-birit kerana terdapat magnesium di dalamnya.
Selain itu, khasiat lain:
- Ia dikatakan dapat membantumenurunkan tekanan darah tinggi kerana kandungan dalam pisang itu sendiri yang mengandungi potassium, membantu merendahkan Kolesterol dalam badan kerana ianya turut mengandungi sodium.
- Membantu masalah penyakit Anemia iaitu penyakit kurang darah kerana ianya mengandungi zat besi di mana boleh merangsang penghasilan Hemoglobin dalam darah.
- Walau bagaimana pun, terdapat 25 gram gula dalam setiap 126 gram pisang (19.85%) dan agak tidak sesuai dimakan oleh pesakit yang ada kencing manis. Begitu juga pesakit buah pinggang kerana kandungan potassiumnya yang tinggi.
Baiklah, sekarang kita lihat resipi pisang muda masak lemak cili padi ni. Resepi Pisang Muda Masak Lemak Cili Padi ini memang sedap dan pekat tau. Tapi, untuk masakan ini, ada orang suka letak bawang dan ada yang tak letak, Terpulang pada selera dan cara masakan masing-masing. Tapi untuk Suri, tak suka letak bawang.
Suri juga menggunakan pisang lemak manis kerana pisang jenis ini yang paling sedap bila dimasak dengan cara masakan ini.
Cuba Resepi ini juga: Masak Lemak Kuning Kepala Ikan Kerapu
Bahan-Bahan Resepi Pisang Muda Masak Lemak Cili Padi:
Seikat pisang lemak manis – disiat kulit bahagian paling luar (macam kita nak masak batang keladi)
1 kotak santan
Segenggam ikan bilis
1 inci kunyit hidup
15-25 biji cili padi – kalau nak pedas, letak lebih
1-2 batang serai – ketuk
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Cara Memasak Resepi Pisang Muda Masak Lemak Cili Padi:
Mula-mula, pisang yang telah dibersihkan itu, disiat kulit bahagian paling luarnya. Kemudian rendam di dalam air seketika dan toskan. Kemudian tumbuk kunyit hidup dan cili api hingga benar-benar lumat.
Masukan bahan yang ditumbuk, serai yang telah diketuk dan ikan bilis di dalam periuk. Masukkan juga santan kotak dengan secawan air. Boleh guna santan segar tapi nak mudah, santan kotak pun dah sedap.
Saat ini, terus masukkan pisang bersama bahan yang lain tadi. Pisang dimasuk awal kerana ia tidak dicelur dahulu. Tapi sekiranya suka, boleh celur dulu dan masukkan bila santan sudah menggelegak. Gaul sebati dan biarkan ia mereneh.
Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kacau lagi. Setelah itu, boleh lah diangkat dan dihidang dengan nasi panas. Selamat mencuba!
Baca ini juga: Roti Gardenia
Resepi ini pun sedap tau: Lala Masak Lemak Cili Padi
Sedapnya.. boleh cuba ni..