Masak lemak tempoyak ikan patin memang ngam kalau dimakan dengan nasi putih panas-panas. Boleh berpeluh dibuatnya. Dapat pulak tempoyak yang baru dan ‘fresh’. Kering kuah dihirup nanti! Yummm!
Antara Masakan Kesukaan Ramai
Ada juga yang sebut gulai tempoyak ikan patin, ada yang sebut gulai masam tempoyak, tapi ia merujuk kepada masakan yang sama. Tak menggunakan santan. Tapi sama ada kuahnya pekat atau cair, bergantung kepada jumlah tempoyak yang digunakan dan jumlah air yang dimasukkan.
Ada yang suka kuahnya agak cair dan ada yang suka agak pekat. Terpulang pada selera masing-masing. Cuma bila menggunakan tempoyak yang masih ‘fresh’ rasanya memang lain macam. Ada rasa manis durian yang menambah kelazatan masakan tu.
Semak resipi lain di sini: Resepi Sambal Sardin Taucu
Jenis-jenis
Ikan patin atau nama saintifiknya Pangasianodon hypophthalmus adalah spesies ikan air tawar yang mendiami kawasan-kawasan sungai dan lombong-lombong.
Ikan patin yang terdapat di Pahang terkenal dengan keenakan dan kelembutannya kerana mempunyai persekitaran yang sesuai sebagai habitat ikan ini. Masakan yang menjadi identiti bagi ikan ini adalah gulai masam tempoyak.
Ikan patin sungai (patin liar) mempunyai nilai komersial yang tinggi dan ada yang diternak di kolam-kolam dan di sangkar-sangkar.
Ikan patin yang diternak di Malaysia biasanya dikenali sebagai Patin Kolam atau Patin Sangkar dan spesies Ikan Patin yang paling banyak diternak di Malaysia adalah dari spesies Pangasianodon hypophthalmus.
Pangasianodon hypophthalmus yang terlepas dari kolam atau sangkar ternakan dan mula hidup liar di sungai-sungai adalah spesies invasif kerana ia menjejaskan kepelbagaian genetik ikan patin asal di Malaysia dan biasanya dikenali sebagai Patin Lawang atau Patin Siam.
Okay, jom semak resipi masak tempoyak ikan patin. Ini versi Suri ye. Simple je bahannya tapi dijamin sedap! Selamat mencuba!
RESIPI MASAK LEMAK TEMPOYAK IKAN PATIN
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor patin saiz sederhana – potong dan bersihkan
- 2-3 senduk tempoyak
- 2 biji cili merah besar
- 10-15 biji cili padi hijau – ikut kepedasan
- 4 cawan air – terpulang pada kepekatan kuah yang diingini
- 1 inci kunyit hidup
- Secekak daun kesum
- 1 batang bunga kantan – racik
- 2-3 batang serai – ketuk
- 2-3 keping asam gelugur
- Sedikit garam
Cara Memasak Masak Lemak Tempoyak Ikan Patin:
Kisar atau tumbuk halus cili padi, cili merah besar dan kunyit. Kemudian satukan dengan tempoyak di dalam satu bekas. Gaul sebati.
Setelah itu, masukkan air ke dalam periuk dan masukkan tempoyak yang telah digaul tadi. Masak dengan api sederhana besar.
Masukkan asam gelugur, serai diikuti dengan daun kesum. Kacau sebati.
Setelah kuah agak menggelegak, masukkan hirisan bunga kantan dan ikan patin. Kacau perlahan-lahan agar ikan tidak hancur. Perasakan dengan garam secukup rasa.
Kemudian check rasanya sama ada cukup masam, pedas dan masinnya. Jika nak lebih masam, boleh tambah lagi asam gelugur. Perlahankan api dan biar ia mereneh.
Setelah kuahnya agak memekat, tutup api. Siap. Sedap dimakan dengan nasi panas!