Ini Rupanya 3 Tip Kirim Doa Depan Kaabah

Cara kirim doa depan Kaabah. Seronok melihat kawan-kawan yang mendapat jemputan sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan rukun Islam ke-5 pada tahun 1443 Hijrah ini.

Pada tahun 2021, pihak berkuasa Arab Saudi mengurangkan bilangan jemaah untuk tahun kedua berturut-turut, dengan hanya membenarkan seramai 60,000 rakyatnya serta penduduk negara itu yang telah lengkap divaksin untuk mengerjakan ibadah haji.

April 2022, Arab Saudi mengumumkan membenarkan seramai sejuta umat Islam dari dalam dan luar negara mengerjakan haji pada tahun ini. Namun, haji tahun ini dihadkan untuk umat Islam di bawah usia 65 tahun yang telah lengkpa divaksin.

Justeru, bertuahlah mereka yang mendapat panggilan mengerjakan haji untuk tahun hijrah ini.

Bagi umat Islam yang tidak berpeluang menunaikan haji, kita tumpang seronok dan bahagia melihat rezeki sahabat-sahabat yang direzekikan menunaikan haji.

Biasanya sahabat-sahabat yang ke Mekah menawarkan untuk kita kirim doa depan Kaabah.

kirim doa depan kaabah
Photo by Shams Alam Ansari

Allahuakhbar, rasa bersyukur sangat bila sudah mendapat tawaran tersebut. Maklum sahajalah kita sedia maklum antara tempat yang mustajab untuk umat Islam berdoa adalah di tanah suci Mekah.

Lebih spesifik doa yang paling mustajab dibaca adalah doa di depan Multazam, iaitu antara pintu Kaabah dan Hajarul Aswad.

Tetapi biasanya kita jadi buntu macam mana nak kirimkan doa kepada mereka yang mengerjakan haji atau umrah.

Kadangkala kita rasa malu kalau menyusahkan mereka pula untuk bacakan semua doa yang kita hajatkan sampai tertanya-tanya “Adakah aku perlu bagi ayat-ayat macam yang selalu aku doakan memohon hajat kepada Allah SWT?”

Eh, keliru pula kita jadinya!

Sudahnya kita jadi terlupa nak kirim doa sampailah sahabat kita tu selesai pulang dari tanah suci Mekah. Aduh, rugilah pula kalau terlepas peluang keemasan tersebut kan.

Kirim Doa Depan Kaabah

Sis terbaca perkongsian daripada saudara Haji Mohd Firdaus yang banyak membacakan doa-doa kiriman sahabat-sahabatnya ketika dia mengerjakan umrah dan haji.

Kalau ada yang tak tahu cara nak kirim doa kepada sahabat yang ke tanah suci Mekah, boleh ikut contoh ayat yang beliau kongsikan.

“Ya Allah, sahabat aku Khairul ingin memohon kepada Mu beberapa perkara:

Ya Allah, ampunkan semua dosa-dosanya, ibu bapanya dan ahli keluarganya. Tingkatkanlah iman mereka dari hari ke hari dan matikanlah mereka semua dalam keadaan beriman.

Ya Allah, Khairul memohon kepada Mu agar Engkau memberikan kesihatan yang sempurna, panjangkan umur mereka sekeluarga, mudah mudahan mereka dapat menggunakan kesihatan dan umur untuk mempertingkatkan amal ibadah kepada Mu.

Ya Allah, Khairul memohon kepada Mu agar Engkau menjadikan anak-anaknya, anak yang soleh dan solehah. Berikanlah kejayaan kepada anak anaknya di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, bantulah Khairul dalam perniagaan yang dijalankannya. Kurniakanlah dia rezeki yang banyak, halal dan berkat. Jauhkan dia dari rezeki yang haram dan syubhah.

Ya Allah, berilah kekayaan yang melimpah ruah kepada Khairul, mudah-mudahan dengan kekayaan itu, dia dapat mengeluarkan zakat yang banyak dan dapat membantu umat Islam yang lain.

Ya Allah, Khairul memohon agar Engkau memilih mereka utk pergi menunaikan Haji sebelum mereka berumur 35 tahun.

Ya Allah, inilah hajat yg Khairul ingin sampaikan kepada Mu. Dengan limpah rahmat Mu, kabulkanlah hajat-hajat Khairul ni.

Amin Ya Rabbal Alamin.”

Ini sekadar contoh doa yang dikirim. Terpulanglah kepada hajat masing-masing boleh tulis ikut keselesaan sendiri ayat doa tersebut. Yang penting jadikan nama diri sendiri sebagai ganti diri orang ketiga.

Tip Kirim Doa Depan Kaabah

  1. Nak mudahkan orang untuk bacakan doa kita, tulis doa dengan membahasakan diri sendiri guna nama kita. Contohnya nama pengirim Mohd Amir.
  2. Tulis ayat ikut keselesaan sendiri cuma jadikan diri anda sebagai ganti diri orang yang ketiga untuk mudahkan sahabat yang nak tolong bacakan doa tu.
  3. Doa biar yang jelas dan straight to the point. Jangan bagi ayat yang panjang sangat.

Semoga dengan kirim doa depan Kaabah dan dibacakan oleh sahabat-sahabat yang direzekikan mengerjakan haji atau umrah di tanah suci Mekah, Allah makbulkan doa-doa yang kita hajati.

Baca juga: Pengalaman cara buat rayuan haji 2022 dengan THjari

Leave a Comment!

error: Content is protected !!