Kari Ikan Jenahak Sedap Dan Penuh Aroma

Kari ikan jenahak yang sedap ini tentunya membuka selera para penggemar masakan berasaskan kari terutamanya. Bahkan, aromanya saja sudah boleh buat perut ‘berdendang riang’.

Cara masak kari ada macam-macam cara. Ada yang bubuh bahan itu, ada yang tambah bahan ini. Ada yang guna jenama ini, ada yang guna jenama itu. Tak kisah, asal sedap pada tekak kita kan?

Kari Ikan Jenahak Simple Tapi Sedap

Zaman sekarang dah serba moden dan mudah. Kalau dulu rempah semua kena giling dan tumbuk sendiri, Tapi sekarang, tinggal beli je. Senang sungguh.

Okaylah. Puasa tinggal beberapa hari saja lagi nak muncul. Ada yang tengah kumpul-kumpul resipi kan? Ha…di sini Suri Kongsikan resipi kari ikan jenahak ala Suri ye. Gerenti sedap!

Cuba resipi kari tulang ini juga.

RESIPI KARI IKAN JENAHAK

Bahan-Bahan:

  • 2-3 keping ikan jenahak -bersihkan dengan garam dan limau kasturi
  • 2 paket kecil serbuk kari ikan – jadikan pes
  • 4 sudu makan cili giling
  • Rempah tumis empat sekawan – kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pegaga
  • 1 sudu makan halba
  • 2 tangkai daun kari
  • Sedikit air asam jawa
  • 1 kotak kecil santan
  • 2 batang terung panjang – potong
  • 3 batang Cili besar merah/ hijau – belah dua
  • 1 biji tomato –potong empat besar
  • Minyak masak
  • Garam secukup rasa

Bahan Tumbuk:

  • 7 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

CARA MEMASAK KARI IKAN JENAHAK:

Panaskan minyak di dalam periuk, dalam kuantiti agak banyak agar rempah masak lebih cantik nanti. Tumiskan rempah empat sekawan, halba, separuh daripada daun kari dan bahan kisar tadi. Kacau sebati hingga terbit wangi.

Masukkan pula cili giling dan tumis hingga cili masak.

Kemudian masukkan pes kari ikan yang telah dicampur sedikit air dan kacau sekata. Biar rempah masak seketika dan terbit minyak.

Masukkan sedikit air asam jawa dan biarkan ia mereneh dengan api agak perlahan. Kacau dari semasa ke semasa.

Kari Ikan Jenahak

Setelah itu masukkan santan dan terung. Kena masukkan terung dahulu kerana ia perlukan masa agak untuk masak. Biarkan ia mereneh lagi. Kalau nak kuah lagi pekat, masukkan lebih santan ye.

Kari Ikan Jenahak

Kemudian masukkan hirisan tomato dan masukkan ikan.

Setelah itu bolehlah masukkan bendi dan akhirnya sekali, tabur daun kari tutup periuk. Ia untuk menaikkan lagi aroma kari. Siap!

Kari Ikan Jenahak Sedap Dan Penuh Aroma

Oh ye. Pernah masak kari daging kerbau? Sedap tau.

Leave a Comment!

error: Content is protected !!