Masalah Haid Tidak Teratur, Normal Atau Penyakit

Haid adalah satu proses semula jadi menunjukkan seorang wanita itu sihat dan subur serta boleh hamil. Namun, kerap juga terjadi masalah haid tidak teratur.

Semasa kitaran haid, berlaku beberapa perubahan hormon dalam badan yang menyebabkan penebalan dinding rahim sebagai persediaan untuk kehamilan. Maka apabila tiada kehamilan berlaku dinding rahim akan luruh menjadi darah haid.

Ada wanita yang menggelar darah menstruasi atau haid ini sebagai ‘darah kotor’ mungkin kerana situasi ini berasal dari lapisan dinding rahim, salur darah, darah dan ketika melalui faraj (vagina) membawa bersamanya kuman yang terdapat di dalam saluran faraj.

Bagaimana pula yang dikatakan haid tidak normal?

Haid dikatakan tidak normal apabila kitaran menjadi tidak teratur. Masalah haid tidak teratur apabila haid menjadi terlalu kerap atau pendek iaitu kurang dari 21 hari atau terlalu panjang iaitu melebihi 35 hari.

Masalah haid tidak teratur juga dikatakan tidak normal apabila berlaku perubahan kepada kuantiti darah sama ada terlalu sedikit, berpanjangan, terlalu banyak atau senggugut yang teruk.

Kitaran haid yang normal berlaku apabila fungsi dan hubungan di antara otak, kelenjar pituitari, ovari dan rahim bekerja mengikut peranan masing-masing.

Hubungan dan fungsi ini membabitkan beberapa hormon penting yang dirembeskan secara periodik contohnya FSH, LH, Estrogen dan Progesteron yang membawa perubahan kepada struktur dan ketebalan dinding rahim dan seterusnya menyebabkan kedatangan haid.

masalah haid tidak teratur jadi topik utama wanita.
Photo by Monstera from Pexels

Dinding rahim memberi respon terhadap hormon tersebut dengan membuat beberapa perubahan atau penyesuaian seperti menjadi lebih tebal, meningkatkan pengaliran darah kepada dinding rahim dan meningkatkan pembentukan kelenjar pada dinding rahim.

Perubahan ini sangat penting sebagai persediaan untuk kehamilan tetapi sekiranya kehamilan tidak berlaku maka dinding rahim yang telah menebal itu akan luruh sebagai menstruasi.

Tahukah anda?
Haid yang normal biasanya mengambil masa 3 hingga 7 hari.

Kitaran haid dikira dari hari pertama haid kepada hari pertama sebelumnya. Adalah lebih baik kiraan ini dibuat untuk haid 6 bulan yang lepas. Ini kerana setiap bulan mempunyai bilangan hari yang berbeza contohnya ada bulan yang mempunyai 28 hari, 29 hari, 30 hari atau 31 hari. Oleh kerana itu jarang berlaku haid kita akan jatuh pada hari bulan yang sama setiap bulan.

Info

Kitaran haid yang normal untuk wanita dewasa berlaku setiap 21 hingga 35 hari. Manakala untuk awal remaja antara 21 hingga 45 hari. Purata kitaran haid yang normal adalah 28 hari.

Mengapa wanita mengalami masalah haid tidak teratur?

Kitaran menstruasi dikawal oleh otak, kelenjar pituitari, ovari dan rahim maka apa-apa masalah atau keadaan yang mengganggu fungsi mana-mana organ tersebut boleh
mengganggu menstruasi sama ada menyebabkan kitaran jadi tidak teratur, berhenti berpanjangan atau senggugut.

Masalah haid tidak teratur ini biasanya terjadi kerana perubahan fisiologi dan ketidakstabilan hormon semasa awal remaja iaitu satu ke dua tahun selepas haid pertama atau apabila menghampiri menopaus (boleh berlaku dalam masa 10 tahun sebelum menopaus).

Photo by Fety Puja Amelia from Pexels

Sindrom Polisistic ovarian – sindrom yang berlaku kepada ovari adalah keadaan yang paling kerap menyebabkan gangguan hormon dan haid kepada wanita berumur antara 20 hingga 30an. Sindrom ini juga berkait dengan obesiti, hormon lelaki yang tinggi menyebabkan tumbuh bulu roma yang berlebihan di muka, badan, kaki dan berjerawat.

Antara masalah pada rahim dan pangkal rahim adalah fibroid, polip atau kanser. Keadaan ini biasanya di hidapi oleh wanita yang berumur melebihi 30an.

Antara masalah lain ialah;

  • Masalah kelenjar tiroid atau pituitari,
  • Senaman melampau seperti atlet,
  • Stres melampau,
  • Berat badan turun mendadak atau kenaikan berat badan yang banyak,
  • Penyakit kronik seperti kanser, kencing manis dan jantung terutama yang tidak terkawal,
  • Masalah berkait dengan diet seperti Bulimia atau Anorexia dan obesiti.

Langkah pencegahan haid tidak teratur?

  • Mengelakkan berlaku obesiti dengan pemakanan yang seimbang dan senaman sebagai langkah masalah haid tidak teratur.
  • Mengurangkan berat badan kepada berat badan yang ideal terutama untuk wanita obes.
  • Mengurangkan stres dengan mengikut program-program relaksasi, keagamaan atau berjumpa pakar psikologi untuk nasihat dan rawatan.
  • Memastikan mendapat rawatan pakar untuk penyakit-penyakit kronik contohnya kencing manis, jantung atau darah tinggi sekiranya mengalami masalah haid tidak teratur.
  • Menjauhi hubungan seks bebas, bertukar-tukar pasangan seks dan seks di luar tabi’i.

BACA: Ujian Mamogram Percuma

Leave a Comment!

error: Content is protected !!