Mentega kacang bantu kurus? Wah, macam menarik info ini. Bagi yang sedang dalam proses diet atau hendak menguruskan badan, jangan lepaskan peluang untuk amal makan mentega kacang.
Benarkah dengan amal makan mentega kacang, ia membantu kita untuk mendapatkan badan yang kurus? Kalau betullah tak perlu susah payah kawal makan atau buat senaman teruk-teruk.
Sebelum membuat kesimpulan sendiri lebih baik, suri-suri sekalian baca info sebenar bagaimana sapuan mentega kacang atau peanut butter yang lazat ini dapat membantu misi anda untuk kurus.
Mentega kacang mengandungi khasiat yang sangat tinggi dengan protein, lemak, karbohidrat, dan kalori. Ini kerana kajian telah membuktikan bahawa mentega kacang atau peanut butter sebenarnya boleh membantu mencapai impian anda untuk mendapatkan badan yang kurus.
Kandungan mentega kacang bantu kurus
Menurut Hello Doctor, peanut butter bukan sahaja sedap disapu pada roti. Rasanya yang lemak berkrim rupanya kaya dengan pelbagai nutrien yang mungkin ramai belum tahu.
Dua sudu kecil (32 gram) peanut butter mungkin akan menyajikan anda dengan kira-kira:
- Kalori : 188
- Lemak : 19 gram
- Protein : 8 gram
- Karbohidrat : 7 gram
- Serat : 3 gram
Selain daripada itu, ia juga tinggi dengan kandungan mineral dan vitamin seperti mangan, magnesium, potasium, fosforus, serta pelbagai jenis vitamin termasuk B3, B6, B9 dan E.
Itu sebabnya tanpa sedar, sapuan mentega kacang ini boleh menjadi makanan penting dalam diet seseorang. Jangan pandang remeh pada kemampuannya!
Apa pun mesti ramai tertanya-tanya macam mana pula peanut butter yang sedap ni ada kaitan dengan pengawalan berat badan seseorang.
Bagaimana mentega kacang bantu kurus?

Menurut International Tree Nut Council Nutrition Research and Education Foundation, peanut butter adalah salah satu makanan yang bagus untuk kurus.
Ini kerana kekacang merupakan antara makanan yang tinggi dengan lemak tidak tepu tunggal dan ia adalah salah satu faktor untuk individu hilang berat badan.
Kajian selama 8 tahun melibatkan lebih 50,000 individu yang kerap ambil mentega kacang membuktikan bahawa risiko berat badan meningkat dapat dikawal dengan diet ini!
Ini antara sebabnya:
Ia mampu menjadikan anda kenyang lebih lama
Tahukah suri sekalian, amalan mengambil snek di antara waktu makan adalah usaha paling utama bila anda dalam usaha untuk menurunkan berat badan. Ini kerana ia boleh mengelakkan anda rasa lapar.
Makanya, ambillah mentega kacang sebagai snek kerana kerana ia tinggi dengan kalori dan nutrien yang membantu menjadikan anda merasa kenyang lebih lama.
Kajian pada tahun 2008 mengesahkan perkara ini dan menyatakan bahawa makanan yang diperbuat daripada kekacang mampu meneutralkan selera makan.
Ia bantu tindak balas glisemik anda
Sebenarnya, anda tidak boleh risau dengan protein dan lemak sahaja kerana apa yang mungkin boleh jadi punca anda gemuk adalah gula dan karbohidrat.
Ini kerana kedua-duanya mungkin boleh menyebabkan kadar gula dalam darah meningkat yang kemudiannya akan jadi faktor risiko diabetes serta obesiti.
Kajian pada tahun 2018 menyatakan bahawa mentega ini mengandungi indeks glisemik yang rendah dan boleh membantu memperbaiki tindak balasnya.
Ia mampu bantu kekalkan berat badan
Dalam pada kita berusaha untuk menurunkan berat badan, jangan sesekali terlupa satu perkara yang sama penting iaitu mengekalkan berat badan sedia ada.
Walaupun mentega kacang mengandungi kalori, karbohidrat, lemak, protein dan lain-lain, namun tiada kajian yang menyatakan ia akan menambahkan berat badan.
Sebaliknya, pelbagai kajian telah menyimpulkan bahawa diet yang tinggi dengan kekacang mampu bantu usaha untuk mengekalkan berat badan ideal.
Mentega kacang bantu kurus pilihan terbaik
Walaupun secara umumnya, mentega kacang dikategorikan sebagai sihat kerana mengandungi nutrien-nutrien penting tetapi suri-suri kena tahu juga tak semua produk ini dikategorikan sebagai sihat kerana ia juga mungkin mengandungi bahan-bahan lain untuk menambah rasanya.
Sebagai contoh, ada juga produk mentega ini yang mungkin mengandungi tinggi gula serta minyak hidrogen (sumber lemak trans yang tidak sihat).
Maka suri kena periksa label mentega kacang yang nak dibeli untuk memastikan tiada bahan lain yang tidak sihat dalam proses pembuatannya.
Tapi kalau rajin dan nak lebih terjamin kandungan bahannya, suri-suri boleh buat sendiri mentega kacang.
Khasiat lain mentega kacang
Dalam pada kita fokus pada kelebihan peanut butter sebagai makanan yang membantu usaha untuk menurunkan berat badan, jangan terlupa ada khasiat lain yang turut memberi kelebihan kepada tubuh badan kita.
Mentega kacang juga turut mungkin mampu menurunkan pelbagai risiko penyakit termasuklah obesiti, diabetes, kanser serta penyakit berkaitan organ lain.
Mulai hari ini suri-suri dah bolehlah ubah persepi terhadap sapuan mentega kacang ini dalam menu seharian. Pastikan di setiap rumah ada sebekas mentega kacang yang berkhasiat. Jangan beli yang ada perisa tambahan pula ya!