Risiko Tumpah Darah | Tumpah darah bunyi umpama tumpah darah dari segelas cawan tetapi Risiko tumpah darah ini pasti boleh meragut nyawa si ibu. Pengalaman bersalin pada tahun 2009 dahulu, mengingatkan pengalaman rakan sebilik bila mana dia kata dia hampir kehilangan nyawa sewaktu melahirkan bayinya.
JOm kita ikut perkongsian dari, Dr. Muhammad Izzat Abdul razak, Pegawai Perubatan Kementerian
“Pesakit dah hilang 2 liter darah ni!
“Tekanan darah dah rendah, nadi dah mula laju. Staff nurse tolong activate RED ALERTsekarang ! Cepat !”
Pendarahan yang berlebihan dan luar daripada biasa selepas bersalin.
Terdapat 2 jenis risiko tumpah darah selepas bersalin
1. Tumpah darah primer (Primary Postpartum Haemorrhage) –
Kehilangan darah selepas bersalin lebih dari 500 ml dalam lingkungan 24 jam selepas bersalin, kadar kebiasaan berlaku pada 5 daripada 100 wanita yang bersalin. Pendarahan yang teruk, melebihi 2 liter adalah jarang berlaku, dalam kekerapan 6 daripada 1000 wanita yang bersalin.
2. Tumpah darah sekunder (Secondary Postpartum Haemorrhage)
Kehilangan darah selepas bersalin dalam lingkungan 24 jam hingga 12 minggu selepas bersalin. Berlaku pada kekerapan kurang daripada 2 daripada 100 wanita yang bersalin.

Situasi Tumpah Darah
Apabila tumpah darah selepas bersalin berlaku di hospital, jururawat perbidanan yang berada di tempat kejadian akan mengaktifkan ‘red alert’ untuk memanggil kakitangan kesihatan iaitu para doktor untuk datang ke pesakit seterusnya memberikan rawatan dengan segera.
Ianya berlaku dengan sangat cepat dan mungkin akan mencemaskan anda dan pasangan anda, lebih-lebih lagi secara tiba-tiba ramai kakitangan kesihatan dengan tidak semena-mena berada bersama anda di dewan bersalin.
Doktor dan jururawat perbidanan akan menenangkan anda dan menerangkan keadaan dan situasi ketika itu kepada anda supaya anda berasa tenang.
Dalam kebanyakan kes,
Pendarahan akan berhenti dengan beberapa 7 langkah :
- Urutan pada rahim melalui bahagian bawah pusat anda untuk merangsang pengecutan rahim
- Ulangan suntikan Syntocinon, sekiranya anda sudah menerima suntikan pada awalnya untuk membantu pengecutan rahim
- Tiub getah kencing akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing, sekaligus membantu pengecutan rahim
- Jarum branula akan dimasukkan ke dua-dua belah tangan anda, sampel darah akan diambil sedikit. Drip akan dimulakan.
- Uri yang telah keluar akan diperiksa untuk memastikan bahagiannya lengkap dan tiada cebisan uri tertinggal di dalam rahim. Jika terdapat cebisan uri yang tertinggal, ianya perlulah dikeluarkan dan prosedur ini akan dilakukan di dewan bedah dengan pemberian bius terlebih dahulu.
- Koyakan bersalin pada vagina dan perineum diperiksa, jika terdapat pendarahan, jahitan akan dilakukan untuk memberhentikan pendarahan.
- Tekanan darah, suhu, serta nadi akan diperiksa dengan kerap dan anda perlu dipantau di dewan bersalin untuk sementara waktu sehingga keadaan stabil dan tiada lagi pendarahan. Penyusuan susu ibu boleh diteruskan pada ketika ini.
Jika anda mengalami keadaan tumpah darah ini di hospital daerah yang tidak mempunyai doktor perbidanan , anda akan dipindahkan dengan serta merta ke hospital lain yang mempunyai doktor atau pakar perbidanan, dan mempunyai kemudahan dewan bedah dan bius.
Walaupun langkah-langkah utama telah dilakukan,
Bagaimana sekiranya masih terus-menerus mengalami tumpah darah?
Jika pendarahan berlaku tanpa henti dan didapati anda sudah kehilangan lebih daripada 1 Liter darah, pakar perunding perbidanan akan dipanggil untuk membantu merawat anda.
Apabila anda sudah kehilangan banyak darah, anda akan mula berasa pening kepala, loya, berdebar-debar dan rasa mahu pitam.
Oksigen melalui topeng muka (face mask) akan diberikan dan Drip tambahan akan diberikan sementara menunggu bekalan darah untuk transfusi tiba.
Ubat tambahan akan digunakan untuk membantu menghentikan pendarahan.
Jika pendarahan masih lagi berterusan, anda akan segera dibawa ke dewan bedah supaya doktor perbidanan boleh mengenalpasti punca pendarahan yang banyak ini. Anda akan diberikan bius terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun suami tidak dibenarkan masuk bersama ke dalam dewan bedah. Suami boleh bersama bayi, atau tunggu di luar dewan bedah supaya doktor dapat memaklumkan keadaan terkini anda kepada suami.
Prosedur penting yang mungkin dilakukan oleh doktor untuk mengawal pendarahan :
- Sejenis ‘belon’ akan dimasukkan ke dalam ruang rahim untuk memberikan tekanan kepada dinding rahim untuk menghentikan pendarahan. Belon ini akan dikeluarkan keesokkan harinya.
- Pembedahan laparotomy dilakukan untuk melihat keadaan rahim secara menyeluruh dan mengenal pasti punca pendarahan
- Pilihan terakhir, kadangkala doktor terpaksa membuang rahim, jika semua langkah-langkah yang telah diambil gagal menghentikan pendarahan
Ada sesetengah hospital yang mempunyai kemudahan uterine artery embolisation, di mana sejenis bahan kimia disuntikkan ke dalam salur darah rahim seterusnya menyumbat peredaran darah ke rahim, sekaligus mengurangkan pendarahan.
Setelah pendarahan dapat dikawal dan diberhentikan, anda akan dipindahkan ke wad rawatan rapi ibu bersalin, dimana anda akan dipantau dengan teliti sehingga anda benar-benar stabil untuk dipindahkan semula ke wad postnatal biasa.
Saya telah mengalami tumpah darah selepas bersalin pada kehamilan terdahulu, bagaimana dengan kehamilan seterusnya, adakah ianya akan berulang?
Risiko tumpah darah kali kedua ?
Sekiranya anda pernah mengalami masalah tumpah darah pada kehamilan terdahulu, anda mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk mengalaminya buat ke sekian kalinya untuk kehamilan yang berikutnya, 1 dalam 10 wanita akan mengalami ulangan masalah ini.
Mungkin pada masa ini perlu mengambilkira langkah langkah pencegahan kehamilan
Justeru itu, anda dinasihatkan untuk bersalin di hospital yang mempunyai doktor atau pakar perbidanan untuk memastikan langkah-langkah segera dapat dilakukan jika anda mengalami masalah tumpah darah ini sekali lagi.
Ketika hamil juga anda disarankan mengambil zat besi tambahan untuk mengurangkan risiko mengalami masalah kekurangan sel darah merah (anemia).
Langkah segera dalam tumpah darah semasa bersalin boleh menyelamatkan nyawa
Siapakah yang berisiko?
Tumpah darah primer bagi mereka yang:
- Pernah mengalami tumpah darah kahamilan terdahulu.
- Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 35kg/m2.
- Pernah melahirkan 4 orang anak atau lebih.
- Kehamilan kembar atau triplet.
- Uri bawah (placenta praevia).
- Uri lekang (placenta abruptio).
- Tekanan darah tinggi.
- Kekurangan sel darah merah (anemia).
Dr. Muhammad Izzat Abdul razak
Pegawai Perubatan, Obstetrik & Ginekologi