Sambal sardin tentunya mempunyai peminat tersendiri. Bahkan, lauk-pauk berasaskan sardin tin sering kali dijadikan pilihan terutama para wanita dan ibu yang bekerjaya. Bukan apa, sardin tin sering kali jadi ‘penyelamat’ bila tak ada stok barang basah yang nak dimasak.
Begitu juga bila tiba bulan Ramadan. Masak sardin waktu sahur pun dah cukup buat kita berselera kan? Jimat masa nak memasak kalau terlewat bangun nak bersahur.
Ia juga antara stok makanan dalam tin yang mesti ada di rumah selain telur. Bahkan, ia boleh diolah dengan pelbagai cara, mengikut selera masing-masing. Sebab itulah ia antara makanan dalam tin paling popular. Cuma yang tak syoknya, harganya juga makin mahal sekarang…alahai!
Sambal Sardin Sedap
Ikan sardin di dalam tin sering kali diolah menjadi sambal kerana sangat mudah nak disediakan. Cepat pula nak memasaknya.
Kali ini, Suri kongsikan masakan sambal sardin tauhu. Pernah masak tak? Ha…bagi yang tak pernah, silalah cuba. Gerenti tak kecewa punya!
Resipi lain di sini juga:
RESIPI SAMBAL SARDIN TAUCU
Bahan-Bahan:
1 tin besar sardin
2 biji kentang – potong wedges
1-2 sudu taucu
3 biji bawang merah – racik
5 ulas bawang putih – racik
1-2 inci halia – racik
15 biji cili padi hijau – pilihan
2 sudu makan cili giling
1-2 sudu makan asam jawa Adabi – campur air
Sedikit air
Sedikit garam
Minyak masak
Cara Memasak Sambal Sardin Taucu:
- Panaskan minyak di dalam kuali, goreng kentang hingga masak. Angkat dan toskan. Menggunakan minyak yang sama, goreng ikan sardin. Angkat dan ketepikan. Buang tulangnya.
- Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dihiris hingga terbit bau wangi. Kemudian masukkan cili giling, gaul sekata. Masak hingga naik minyak. Masukkan pula taucu dan gaul lagi. Setelah itu masukkan air asam jawa dan garam secukupnya. Kalau sudah cukup masin tak perlu tambah garam kerana taucu dah masin. Tambah air jika ingin sambal lebih berkuah.
- Setelah itu, masukkan ikan sardin yang telah digoreng tadi, diikuti kentang yang juga telah digoreng serta cili padi. Gaul rata dengan penuh hati-hati untuk menggelakkan isi ikan hancur. Biarkan beberapa ketika. Periksa rasanya apakah sudah cukup masam dan masinnya.
- Setelah itu bolehlah diangkat. Mudah kan? Makan dengan nasi putih panas-panas pun dah cukup!