17 Amalan Zikir Pagi, Nombor 13 Paling Mudah Amal!

Amalan zikir pagi merupakan salah satu cara manusia mendekatkan diri kepada Tuhan. Zikir juga amalan mudah untuk memuji dan mengingati Allah SWT pada bila-bila masa.

Antara ciri-ciri orang yang berakal ialah sentiasa berzikir kepada Allah sepanjang masa dan dalam semua keadaan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 191 yang bermaksud:

“Orang-orang yang selalu berzikir kepada Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Bahkan Nabi Muhammad SAW juga adalah orang yang paling bertakwa kepada Allah dan Baginda sentiasa berzikir kepada Allah dalam semua keadaan.

Diriwayatkan dari A’isyah r.a berkata yang bermaksud:

“Rasulullah SAW selalu berzikir kepada Allah pada setiap keadaannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Memetik dari buku Himpunan Zikir Pagi & Petang oleh Sa’id Ali Whaf Al-Qahtoni amalan zikir yang paling dianjurkan adalah amalan zikir pagi dan petang, kerana kedua waktu tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri yang tepat digunakan untuk mengingat Allah SWT.

Ada 17 amalan zikir pagi yang boleh dilakukan secara istiqomah.

BACA : Sedekah Subuh

Kelebihan Amalan Zikir Pagi

amalan zikir pagi
Photo by Canva

Antara kelebihan amalan zikir pagi:

1. Sebaik-baik amalan

Ia adalah sebaik-baik amalan di sisi Allah, firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya berzikir kepada Allah adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

2. Sebaik-baik ucapan yang paling dicintai Allah

Zikir kepada Allah adalah sebaik-baik ucapan dan yang paling dicintai oleh Allah, firman Allah dalam surah Fatir ayat 10 yang bermaksud:

“Sesiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya. KepadaNyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh dinaikkan-Nya.”

3. Mendapat keampunan Allah

Berzikir kepada Allah adalah penyebab terhapusnya dosa-dosa dan mendapat keampunan Allah seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang menyebut SubhanaAllah wa bihamdihi (Maha suci Allah dan segala pujian bagiNya) dalam satu hari sebanyak seratus kali maka akan dihapuskan dosa-dosanya (yang kecil) walau sebanyak buih di lautan.” (Hadis Al-Bukhari No.6405)

Baca juga: Amalan Seminit Besar Ganjaran Di Sisi Allah SWT

4. Memberi ketenangan kepada hati

Zikir memberi ketenangan kepada hati orang yang berzikir sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud:

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir kepada Allah. Ingatlah, hanya dengan berzikir kepada Allah hati menjadi tenteram.”

17 Amalan Zikir Pagi Mengikut al-Quran Dan Hadis

1. Ayat Kursi

Zikir pertama adalah bacaan ayat Kursi agar Allah melindungi daripada gangguan jin.

ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىْءٍ مِّنْ عِلْمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ ۖ وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ

Maksudnya: “Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus (makhluk-Nya). Tidak mengantuk dan tidak tidur. KepunyaanNya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisiNya melainkan dengan izinNya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi, dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya. Dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (QS. Al-Baqarah: 255).

Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang membacanya (Ayat Kursi) pada pagi hari, maka ia akan dilindungi dari (gangguan) jin hingga petang. Dan barang siapa yang membacanya pada waktu petang maka ia dijaga dari (gangguan) jin hingga pagi hari.” (Hadis Riwayat Hakim).

2. Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas

Amalan membaca tiga surah iaitu Al-Iklhas, Al-Falaq dan An-Naas sebanyak tiga kali setiap surah. Amalan zikir pagi ini agar Allah melindungi dalam segala perkara.

Adapun keutamaan membaca tiga surah tersebut sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud:

“Siapa yang membacanya tiga kali pada waktu pagi dan petang, maka cukup baginya (sebagai pelindung) daripada semua perkara.” (Hadis Riwayat Abu Daud, AT-Tarmizi, Sahih At-Tarmizi).

3. Doa Waktu Pagi

أَصْبَحْنَا وَأَصْبَحَ الْمُلْكُ لِلَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ. رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِيْ هَـٰذَا الْيَوْمِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهُ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيْ هَـٰذَا الْيَوْمِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهُ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوْءِالْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْر

Maksudnya: “Kami telah memasuki waktu pagi dan kerajaan hanya milik Allah, dan segala puji bagi Allah. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya. Milik Allah kekuasaan dan bagiNya pujian.

Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ya Tuhanku, aku memohon kepadaMu kebaikan pada hari ini dan kebaikan selepasnya. Aku berlindung denganMu daripada kejahatan pada hari ini dan kejahatan yang berlaku selepasnya. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan pada hari ini dan kejahatan yang berlaku selepasnya. Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu daripada kemalasan dan keadaan buruk di hari tua. Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka dan azab kubur.” (Hadis Riwayat Muslim 4/2088).

4. Doa Waktu Pagi

اَللَّهُمَّ بِكَ أَصْبَحْنَا، وَبِكَ أَمْسَيْنَا، وَبِكَ نَحْيَا، وَبِكَ نَمُوْتُ، وَإِلَيْكَ النُّشُوْرُ

Maksudnya: “Ya Allah, dengan rahmat dan pertolongan-Mu kami memasuki waktu pagi, dan dengan rahmat dan pertolongan-Mu kami memasuki waktu petang. Dengan rahmat dan pertolongan-Mu kami hidup dan dengan kehendak-Mu kami mati. Dan kepada-Mu tempat kembali.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi 3/142).

5. Sayyidul Istighfar

Doa terbaik memohon keampunan dari Allah SWT.

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ، لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ، وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ لَكَ بِذَنْبِيْ، فَاغْفِرْ لِيْ، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku pada-Mu (iaitu aku akan mentauhidkan-Mu) sekadar keupayaanku.

Aku berlindung dengan-Mu daripada segala kejahayan yang telah aku lakukan. Aku mengaku akan nikmat-Mu kepadaku dan aku mengaku akan dosaku. Ampunilah dosaku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau.”

Siapa yang membacanya pada siang hari dalam keadaan penuh keyakinan, lalu ia mati pada hari tersebut sebelum petang hari, maka ia termasuk penghuni syurga. Siapa yang membacanya pada malam hari dalam keadaan penuh keyakinan, lalu ia mati sebelum pagi, maka ia termasuk penghuni syurga. (Hadis Riwayat Al-Bukhari 7/150)

6. Doa Memohon Kesihatan

Baca amalan zikir pagi ini tiga kali setiap pagi.

اَللَّهُمَّ عَافِنِيْ فِيْ بَدَنِيْ، اَللَّهُمَّ عَافِنِيْ فِيْ سَمْعِيْ، اَللَّهُمَّ عَافِنِيْ فِيْ بَصَرِيْ، لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ أَنْتَ. اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ، اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah kesihiatan pada badanku Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada pendengaranku. Ya Allah, kurniakanlah kesihatan pada penglihatanku. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Engkau. Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kekufuran dan kefakiran dan aku berlindung dengan-Mu dari azab kubur. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Engkau.” (Hadis Riwayat Abu Daud 4/324, Ahmad 5/42).

amalan zikir pagi
Photo by Canva

7. Doa Memohon Keampunan Dan Kesejahteraan

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي، اَللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اَللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: Ya Allah, aku mohon kepada-Mu keampunan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, aku mohon keampunan dan kesejahteraan pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutuplah keaibanku dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, peliharalah aku daripada hadapan dan belakangku, daripada kanan dan kiriku, serta daripada atasku dan aku berlindung dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku (oleh gangguan-gangguan seperti tenggelam dalam bumi dan lain-lain yang berpunca dari bawah).” (Hadis Riwayat Ibn Majah 2/332).

8. Doa Perlindungan

Doa ini memohon perlindungan dari kejahatan diri, kejahatan syaitan dan dari mendorong orang Islam melakukan kejahatan.

اَللَّهُمَّ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ، رَبَّ كُلِّ شَيْءٍ وَمَلِيْكَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ أَنْتَ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِيْ، وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ، وَأَنْ أَقْتَرِفَ عَلَى نَفْسِيْ سُوْءًا، أَوْ أَجُرَّهُ إِلَى مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Yang Maha Mengetahui yang ghabi dan yang nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan setiap sesuatu dan Pemiliknya. Aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan diriku dan kejahatan syaitan dan sekutunya, dan aku (berlindung dengan-Mu) daripada berbuat kejahatan terhadap diriku atau mendorong orang Islam melakukannya.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi 3/142).

9. Doa Memohon Perlindungan Daripada Bahaya

Baca doa ini setiap pagi sebanyak tiga kali.

بِسْم اللَّهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat bersama nama-Nya oleh sesuatu di bumi dan di langit, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Barangsiapa membacanya sebanyak tiga kali pada waktu pagi dan petang, maka tidak ada sesuatu pun yang boleh memudaratkannya. (Hadis Riwayat Abu Daud 4/323, Ar-Tarmizi 5/465, Ibn Majah 2/332).

10. Doa Mendapat Reda Allah Pada Hari Kiamat

Amalan zikir pagi ini hendaklah dibaca sebanyak tiga kali.

رَضِيْتُ بِاللهِ رَبـًّا، وَ بِالإِسْلاَمِ دِيْنـًا، وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيًّاوَرَسُولاً

Maksudnya: “Aku reda Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhamaad SAW sebagai nabi.”

Siapa yang membacanya sebanyak tiga kali pada waktu pagi dan petang akan mendapat keredaan Allah pada hari kiamat. (Hadis Riwayat Ahmad 4/337, Ibn As-Sunni No.68, At-Tarmizi 5/465).

11. Doa Memohon Pertolongan Allah Dalam Segala Urusan

يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، أَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Tetap Hidup, Yang Maha Kekal Berdiri (tanpa memerlukan kepada sesuatu pun), dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan janganlah Engkau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata.” (Hadis Riwayat Al Hakim 1/545).

12. Doa Di Waktu Pagi

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ اْلإِسْلاَمِ، وَعَلَى كَلِمَةِ اْلإِخْلاَصِ، وَعَلَى دِيْنِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِيْنَا إِبْرَاهِيْمَ، حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ

Maksudnya: “Di waktu pagi ini kami berada di atas landasan fitrah Islam, di atas kalimah Ikhlas (dua kalimah syahadah), dan di atas agama Nabi kami Muhammad SAW, yang juga agama bapa kami Nabi Ibrahim, yang lurus serta tunduk kepada Allah dan baginda bukanlah seorang yang musyrik.” (Hadis Riwayat Ahmad 3/406, At-Tarmizi 4/209).

13. Amalan Zikir Pagi Diampunkan Dosa Kecil

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ

Dibaca sebanyak 100 kali.

Maksudnya: Maha Suci Allah dan segala pujian hanya bagi-Nya.”

Barangsiapa membacanya pada hari itu sebanyak 100 kali, dihapuskan darinya dosa-dosanya (yang kecil) walaupun sebanyak buih di lautan. (Hadis Riwayat Al Bukhari No.6405).

14. Zikir Dapat Ganjaran Seperti Membebaskan Hamba

Amalan zikir pagi ini jika dibaca 100 kali, ganjarannya seperti membebaskan 10 hamba, beroleh 100 darjat dan terhapus 100 kesalahan.

Jika dibaca 10 kali, ganjarannya seperti membebaskan empat orang hamba dari keturunan Ismail.

(Hadis Riwayat Abu Daud 4/319, Ahmad 4/60)

لَاإِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْئٍ قَدِيْرٌ

Maksudnya: “Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah yang Esa tiada sekutu bagiNya. Bagi-Nya kekuasaan dan segala pujian Dia-lah yang berkuasa atas setiap sesuatu.”

15. Amalan Zikir Lebih Berat Timbangannya

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

Maksudnya: “Maha Suci Allah, aku memujiNya sebanyak bilangan makhluk-Nya, sesuai keredaan-Nya, seberat timbangan ‘Arasy-Nya dan sebanyak tinta (yang menulis) Kalimah-Nya.”

Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Juwairiyah bahawa zikir tersebut telah mengalahkan zikir yang dibaca oleh Juwairiyah dari selepas subuh sampai waktu dhuha. (Hadis Riwayat Musim 4/2090).

16. Doa Memohon Ilmu Bermanfaat, Rezeki Yang Baik Dan Amalan Diterima

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon daripada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah No. 925, Ibn As-Sunni No.54).

17. Doa Memohon Keampunan

Amalan zikir pagi terakhir bacalah istighfar sebanyak 100 kali.

أَسْتَغْفِرُ الله وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Aku memohon keampunan daripada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya.”

(Hadis RIwayat Muslim 4/2075)

Leave a Comment!

error: Content is protected !!