Cara selesa mandikan kucing agar tak dicakar | Proses memandikan kucing ini sebenarnya amat mencabar sekali. Lagi-lagi bagi pemilik baru dan kucing tersebut belum pernah dimandikan.
Siapa yang pernah ada pengalaman mungkin akui pernah berdepan kesukaran. Antaranya, kena cakar kucing, kucing meronta, mahu berlari melepaskan dirinya.
Sebenarnya ada cara yang boleh pemilik ambil untuk memandikan kucing dengan selamat, elak dicakar.
Cara Mandikan Kucing Dengan Selamat
1. Sebelum Mandikan Kucing Potong Kuku Kucing Dulu
Sebaiknya potonglah dulu kuku kucing itu ya. Jadi semasa anda memandikan tidaklah sakit jika berlaku kejadian dicakar tanpa sengaja.
Walaupun kucing anda itu lemah lembut, bimbang dia terkejut dan membuat tindakan refleks mencakar. Anda pun pakailah sarung tangan yang menutupi lengan. Sebagai langkah keselamatan ya.
2. Siapkan Air Mandian Dan Getah Paip Bersesuaian
Sebaiknya biarlah memandikan kucing dalam keadaan tenang. Tutup paip air, biar jangan sampai ada bunyi air. Sebaiknya gunalah air suam. Macam nak mandikan bayi tu.
Boleh mulakan dengan menyiram kakinya dulu. Kemudian, barulah siram bahagian badannya pula. Lakukan dengan lembut dan berhati-hati.
Dalam pada itu siram sedikit demi sedikit, panggillah nama kucing anda dengan panggilan yang lembut dan manja. Mintanya untuk bertenang. Kadangkala, teknik ini menjadi.
3. Cuci Badan Dengan Syampu Khas
Syampu khas untuk kucing sudah ada banyak dijual di pasaran. Gunakanlah. Jangan pakaikan sabun atau syampu manusia ya. Bimbang nanti tidak sesuai akan menyebabkan keguguran bulu.
Gosoklah sekitar badan, kaki dengan lembut sampai bersih.
Elakkan menyiram keseluruhan kepala kucing. Cukup sekadar mengelap bahagian mukanya dengan tisu basah saja nanti.
Sebaik selesai bersyampu, bilaslah bulu kucing hingga tiada sisa syampu yang tinggal. Masa ini nak bilas dalam besen yang berisi air bersih pun boleh.
Pastikan airnya, tidak terlalu tinggi sehingga boleh menenggelamkan kucing anda.
BACA : Tip selamat bawa kucing balik kampung naik kenderaan
4. Buang Kutu Kucing Dengan Sikat Khas
Sebaik dimandikan, ambil sikat kucing dan lakukan proses membuang kutu kucing. Bermula dari bagaian leher hingga ke ekor.
Lakukan dengan lembut dan hati-hati ya.
Selesai itu, bolehlah mengelap kucing anda dengan tuala yang kering dan bersih. Anda juga boleh menggunakan alat pengering rambut untuk mengeringkan bulu kucing.
Yang ini kena try and error, sebab ada sesetengah kucing jenis panik dengar bunyi alat pengering rambut. Mulakan dengan tahap yang paling rendah.
Pegang kucing anda siap-siap ya. Agar kucing anda tidak lari sebab terkejut. Lakukan dengan lembut dan berhati-hati ya.
Bila dah selesai, bolehlah anda membelainya untuk memberi ketenangan kepada si bulus.
Info Tambahan
Perlu diingat, semasa proses memandikan ini. Bagi kucing yang belum biasa mandi, sebaiknya kedudukan anda adalah membelakangkannya.
Jangan pula duduk berdepan dengannya. Bimbang kucing anda melompat ke depan pula.