Cara Menggunakan Pulse Oximeter Yang Betul

Cara menggunakan Pulse Oximeter yang betul penting untuk pastikan setiap bacaan dilakukan dengan berhati-hati.

Kini, alat ini mesti dimiliki oleh pesakit COVID-19 apabila menjalani kuarantin sendiri di rumah. Ramai yang membeli peranti ini dan menyimpannya di rumah sebagai langkah persediaan dan berjaga-jaga.

Bagaimanapun ramai yang masih keliru dan tidak faham bagaimana cara menggunakan Pulse Oximeter dengan betul.

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), Pulse Oximeter berfungsi untuk memantau paras oksigen dalam darah pesakit COVID-19.

Virus Covid-19 dapat menyebabkan penurunan kadar oksigen secara tiba-tiba. Jadi penting bagi setiap pesakit untuk memiliki alat ini.

Kenapa Perlu Ada Pulse Oximeter?

Pulse Oximeter biasanya digunakan untuk memantau keadaan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan yang boleh mempengaruhi tahap oksigen dalam darah seperti Penyakit Obstruktif Paru-Paru Kronik (COPD), penyakit asma, Pneumonia, kanser paru-paru, anemia, sakit jantung, kecacatan jantung kongenital dan lain-lain.

Kini kepentingan Pulse Oximeter untuk memeriksa tahap oksigen darah adalah penting bagi pesakit (tidak termasuk pesakit wad) yang mempunyai gejala COVID-19 seperti batuk, demam, dan sesak nafas.

Cara menggunakan pulse oximeter
Photo by Towfiqu barbhuiya from Pexels

Walaupun penggunaan Pulse Oximeter di rumah dapat mengesan paras oksigen rendah dalam darah (hypoxia) yang disebabkan oleh jangkitan COVID-19, namun bukan semua perubahan bacaan Pulse Oximeter adalah berkaitan dengan COVID-19.

Perubahan ini mungkin juga disebabkan oleh masalah paru-paru yang lain seperti penyakit asma atau jangkitan paru-paru (Pneumonia).

Cara Menggunakan Pulse Oximeter Yang Betul

  • Pengukuran dan hasil bacaan perlu dicatat tiga kali sehari dan perlu dilakukan pada masa yang sama setiap hari. Contohnya, 3 kali sehari mengikut masa makan.
  • Lakukan pengukuran tambahan jika anda merasakan berlaku perubahan dalam kesihatan anda.

Ini cara penggunaan Pulse Oximeter

  1. Tanggalkan pewarna kuku atau kuku palsu dan panaskan tangan dengan menggosokkan kedua tapak tangan jika berasa sejuk.
  2. Berehat sekurang-kurangnya lima minit sebelum melakukan pengukuran.
  3. Letakkan tangan anda di dada pada paras jantung dan kekalkan tangan anda pada paras tersebut.
  4. HIdupkan Pulse Oximeter dan pasang di jari tengah atau telunjuk pada tangan yang berada di dada anda.
  5. Kekalkan posisi tangan anda dengan Pulse Oximeter sekurang-kurangnya satu minit atau sehingga bacaan menjadi stabil.
  6. Hanya catatkan bacaan tertinggi jika bacaan tidak berubah selama lima saat.
Cara Menggunakan Pulse Oximeter
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Bantuan Untuk Suri Rumah

Bagaimana Pulse Oximeter Berfungsi?

Bacaan tahap oksigen dalam darah diambil dengan cara mengepit hujung jari tangan menggunakan Pulse Oximeter.

Tahap kepekatan oksigen darah diukur menggunakan satu proses yang melibatkan lintasan sinaran cahaya kecil ke dalam darah.

Proses ini dapat mengukur perubahan penyerapan cahaya dalam darah beroksigen atau darah tanpa oksigen dan seterusnya, mengesan kadar kepekatan oksigen darah.

Paras oksigen darah rendah (hypoxia) adalah ukuran kepekatan oksigen berpurata 94% dan ke bawah bagi mereka yang tiada penyakit paru-paru kronik.

Bergantung kepada model Pulse Oximeter, bacaan paras oksigen antara 95% hingga 97% adalah dianggap normal.

Kadar oksigen dalam darah yang rendah (hypoxia) dapat dilihat melalui kepekatan oksigen yang diukur di bawah 94% sekiranya tiada penyakit paru-paru kronik.

Sekiranya bacaan menjadi kurang daripada 94%, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor, manakala jika bacaan jatuh kepada 90 ke bawah, rawatan kecemasan adalah diperlukan.

Pesakit yang mempunyai penyakit paru-paru kronik biasanya mempunyai tahap oksigen hypoxia, oleh itu, kadar kepekatan oksigen yang normal bagi golongan pesakit ini adalah antara 88% dan 92%.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *