Cara Selesaikan Hutang Cepat Yang Patut Kita Buat

Kalau tahu cara selesaikan hutang cepat tentu sahaja boleh membuatkan kita menarik nafas lega. Siapa yang suka berhutang kan? Kalau boleh kita tak nak ada sebarang hutang dalam kehidupan. Barulah boleh bahagia hidup di dunia dan tenang di akhirat kelak.

Dalam keadaan ekonomi satu dunia yang tidak menentu sudah tentu membuatkan ramai yang tersangkut dalam bab melangsaikan bayaran hutang.

Kita sedia maklum sejak berlakunya pandemik Covid-19 yang sudah hampir dua tahun, ramai yang terjejas pendapatan akibat kehilangan pekerjaan atau berlaku pemotongan gaji atau elaun yang diterima setiap bulan.

Bagi yang masih bergaji bulanan, tiada jaminan tentang masa depan yang tak menentu menyebabkan sebolehnya mahu menyelesaikan hutang secepat mungkin. Sebaiknya kita mahu hidup tenang dan aman tanpa bebanan hutang.

Tidak dapat dinafikan dalam menjalani kehidupan di zaman moden dan mencabar ini, kadangkala keinginan untuk mempunyai barangan mewah melebih kemampuan. Disebabkan itu kita sanggup berhutang. Sebenarnya tak perlu pun berhutang kalau tak mampu.

Tapi disebabkan gaya hidup masa kini yang nak nampak hebat, ramai sanggup menjerat diri terjebak dalam hutang tak perlu.

Buat cara selesaikan hutang cepat ni

Bagi yang ada niat untuk menyelesaikan masalah hutang cepat tak kira sama ada hutang kad kredit, hutang kereta, hutang pinjaman pendidikan dan sebagainya boleh cuba kaedah ini yang mungkin membantu anda menyelesaikan hutang dengan cepat.

Menurut Eyfa Emir rupanya bila dah belajar restructure semula kewangan peribadi, baru nampak nak buat macam mana.

Jika sudah ada niat, jangan risau tak cukup duit, jangan risau kalau gaji kecil, jangan risau takde bisnes besar atau jangan risau kalau takde sesiapa yang support anda.

Yang penting nawaitu kita, kesungguhan dan doalah bersungguh-sungguh supaya Allah permudahkan kita untuk selesaikan hutang.

Step by step selesaikan hutang cepat

Mungkin cara ini tak sesuai untuk semua orang tapi tak salah kita cuba kaedah yang orang lain dah berjaya sebelum kita buat sesuatu kesimpulan.

1. Tuliskan semua hutang

cara selesaikan hutang cepat
Photo by Kindel Media from Pexels

Ini benda penting yang kita mesti buat supaya kita lebih nampak senarai hutang piutang kita. Bila dah visual kan maka mudahlah kita nak hadam dan tak mudah lupa jumlah hutang tersebut.

  • Tulis semua hutang dan jumlah baki.
  • Pilih hutang mana nak settle dulu.
  • Bincang dengan perunding/coach kewangan (jika ada) hutang mana nak selesaikan dahulu.
  • Fokus untuk settekan satu hutang dahulu.

2. Kurangkan berbelanja

Ini antara cabaran paling besar untuk direalisasikan apatah lagi bila asyik scroll portal shopping online yang asyik buat sale.

Kalau tak boleh berhenti bershopping, kita cuba kurangkan kekerapan habit berbelanja terutama barangan yang tak penting dan tak perlu.

  • Stop beli baju baru.
  • Stop beli tudung baru.
  • Stop beli kasut baru.
  • Stop/kurangkan makan luar.
  • Stop merokok (jika anda seorang perokok).
  • Stop scroll shoppee, lazada dan lain-lain.
  • Kawal belanja sedia ada.

3. Tambah pendapatan

Cara ini ramai yang akui sukar nak buat dan akhirnya terperangkap di situ. Yelah, bukan semua orang ada kebolehan atau keupayaan untuk buat ekstra job yang boleh bagi tambahan pendapatan.

Percaya tak yang setiap daripada kita ni ada bakat dan kelebihan tersendiri. Kalau korang dapat kenal pasti kelebihan diri sendiri yang boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan, haa memang ohsemlah.

Tapi jangan pulak rasa sampai stres nak fikir kelebihan diri korang yang boleh dijadikan extra job. Sebenarnya kat luar sana ada banyak peluang cara untuk tambah pendapataan.

Yang penting cuma keinginan dan kerajinan je untuk melakukannya. Kalau betul caranya, pendapatan tambahan tersebut akan lebih memudahkan impian korang untuk selesaikan hutang lebih cepat.

4. Berdoa juga cara selesaikan hutang cepat

Lepas dah buat segala step tersebut, sebagai orang Islam jangan lupa untuk berserah, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT agar dipermudahkan niat kita selesaikan hutang dengan cepat.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al- Tabrani dengan sanad yang jayyid dalam Bab Doa, Saidina Muaz r.a. pernah mengadu kepada Nabi SAW tentang hutangnya kepada seorang Yahudi. Nabi SAW terus mengajarnya membaca ayat 26-27 Surah Ali-Imran untuk melunaskan hutang-hutangnya yang ditanggung itu.

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”. (Surah Ali-Imran ayat 26-27)

Inilah antara doa-doa untuk dipermudahkan membayar hutang dan kedua-dua ayat iaitu surah Ali-Imran ayat 26-27 perlu diamalkan dengan membacanya sebelum tidur. Semoga amalan ini mudah-mudahan kita mendapat jalan untuk melangsaikan bebanan hutang dengan cepat dan mudah. (Al Durrul Manthur, tafsir ayat 26-27, surah Ali-Imran)

Percayalah bila hutang-hutang telah selesai dibayar, kita akan rasa tenang, bebas dan bahagia sangat.

Baca juga ini: Pelajari Pendidikan Kewangan Secara Percuma Di AKPK

Leave a Comment!

error: Content is protected !!