Daging masak kicap memang ramai yang suka. Ia tak pedas, jadi anak-anak pun boleh makan. Tapi untuk kita, boleh tambah cili padi ke dalamnya tanpa perlu dipotong. Bila makan, gigit je untuk dapatkan rasa pedas.
Daging antara makanan yang digemari ramai terutamanya daging lembu. Daging kambing pun ramai yang suka terutamanya orang lelaki. Tapi, ada juga yang tak suka kerana bau hamisnya yang kuat.
Pelbagai masakan boleh dimasak menggunakan daging lembu. Daripada masakan kering sehinggalah yang berkuah. Daripada gulai yang berkuah hinggalah masakan yang kering seperti digoreng kunyit.
Tahu Tak Apa Khasiat Daging?
Kadang- kala kita ni tau makan je tanpa ketahui apa khasiatnya. Kalau nak tau, daging merupakan salah satu sumber protein yang baik. Secara perbandingan, kandungan protein dalam lembu dan kambing adalah tidak jauh beza, tetapi kandungan lemak mungkin berbeza.
Kuantiti yang disarankan kepada golongan dewasa untuk gabungan pengambilan daging atau ayam atau telur adalah separuh hingga dua hidangan dalam sehari.
Antara kebaikan memakan daging ialah menguatkan jisim tulang, mencegah anemia, sumber kompleks vitamin B, mempercepatkan penyembuhan luka dan banyak lagi.
Kawal Jumlah Pengambilannya
Pakar dalam bidang pemakanan sihat tidak mengesyorkan memakan daging lembu lebih daripada tiga kali seminggu. Dagingnya lebih mudah dicerna dan tidak akan meninggalkan rasa berat jika anda memakannya bersama dengan sayur-sayuran segar .
Namun, sekiranya makan berlebihan, dikhuatiri boleh mendorong kepada pelbagai jenis penyakit kronik seperti komplikasi sistem kardiovaskular, peningkatan kolesterol yang kritikal dan banyak lagi. Sebab itulah, makan biarlah berpada-pada. Jangan ikutkan sangat nafsu makan tu.
Okaylah. Kali ini Suri nak kongsikan resipi daging masak kicap yang pasti ramai peminatnya. Untuk melembutkan daging, Suri rendam dalam 15 minit bersama serbuk soda bikarbonat. Setelah itu, cuci bersih-bersih hingga hilang bau soda bikarbonat.
Semak resipi lain di sini: https://surihack.com/ayam-masak-ros-penang/
Guna Air Rebus Daging
Setelah itu, Suri rebus dulu daging itu dan air rebusan itu nanti akan digunakan sebagai kuah. Sedap tau resipi ni. Rugi tak cuba!
DAGING MASAK KICAP
BAHAN-BAHAN:
1kg daging – rebus
5 ulas bawang putih – kisar
7 biji bawang merah – kisar
2 inci halia – kisar
10-15 batang cili padi
2-3 sudu cili kisar
3-4 sudu makan kicap Karamel
3 sudu makan kicap manis
1 tin kecil tomato puri
Rempah empat beradik – Bunga lawang, bunga cengkih, buah pala dan kulit kayu manis
Sedikit serbuk lada sulah
Air – untuk rebus daging
Garam – jika perlu
Minyak masak
CARA MEMASAK DAGING MASAK KICAP:
Setelah cuci bersih daging yang direndam bersama serbuk soda bikarbonat, rebus daging hingga empuk. Angkat dan toskan daging.
Setelah sejuk, tumbuk sedikit daging itu (menggunakan lesung batu), seperti hendak membuat daging dendeng. Kemudian panaskan minyak di dalam kuali dan goreng daging tadi hingga agak garing.
Baca ini juga: Biji Ketumbar
Menggunakan minyak gorengan daging tadi, tumis rempah empat beradik.
Setelah itu masukkan bahan kisar dan tumis lagi hingga terbit wangi. Masukkan pula cili kisar dan gaul sekata.
Masukkan pes tomato puri diikuti cili padi hijau sebiji-sebiji. Gaul sekata. Setelah itu masukkan pula kicap manis dan kicap karamel secukupnya. Gaul lagi.
Seterusnya, masukkan daging dan serbuk lada sulah. Kacau lagi.
Setelah itu, check rasanya. Kalau kurang masin, boleh tambah garam.
Masukkan air rebusan daging secukupnya. Kalau nak lebih berkuah, letak lebih. Gaul sekata.
Oh ye. Kalau suka, boleh letakkan sedikit serbuk sup dan hirisan bawang besar. Tapi kali ni Suri tak letak. Terpulang pada selera. Angkat dan sedia dimakan dengan nasi panas.
Daging masak kicap ini seimbang rasa masin, pedas dan manisnya. Bagi yang gemar makan lauk kering, makan daging masak kicap ini saja dengan nasi panas pun dah cukup.
PETUA LEMBUTKAN DAGING
1. BETIK MUDA
Potong buah betik muda sederhana kecil dan rebus bersama daging. Kalau tak ada buah betik muda, boleh gunakan batang betik.
2. DAUN NANGKA
Ambil daun nangka dan keringkan getahnya terlebih dahulu. Kemudian boleh masukkan ke dalam masakan. Gunakan dalam 4-5 helai. Berkesan!
3. CUKA
Gunakan sedikit cuka makan ke dalam rebusan atau perap bersama daging beberapa jam sebelum dimasak. Sumber asid dikatakan dapat melembutkan struktur daging dengan cepat.
5. MASUKKAN SUDU
Walaupun kedengaran pelik dan susah nak percaya kan, tapi inilah antara petua melembutkan daging yang paling mudah dan popular.
Cuma letakkan sebatang sudu / garfu ke dalam periuk dan rebus bersama daging. Memang cepat lembut sebab dipercayai sudu ni dapat meningkatkan suhu dalam periuk. Selain guna sudu besi / tembaga, ramai juga menggunakan sudu porselin / kaca.
Semak resipi ini: https://wawaazwa.com/2022/04/22/rendang-daging-padang-asli-masak-santannya-dulu-baru-lebih-tahan-lama/