Diuji suami sakit tentunya merupakan salah satu ujian terbesar dalam perkahwinan. Bagi isteri, suami adalah nakhoda dalam rumah tangga.
Bayangkan bila nakhoda sudah terbaring atau diuji dengan penyakit-penyakit kronik sehingga menyebabkan dia tidak mampu bekerja dan akhirnya isteri pula terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Tentu saja ia bukan mudah. Walau pun mungkin isteri itu punya pendapatan sendiri dan stabil, namun tekanan tetap dirasai kerana jika dulu tiap tanggungjawab akan dipikul secara bersama tapi kini segalanya terletak di bahu isteri.
Berkongsi Tanggungjawab Dan Sokongan Emosi
Biasanya suami dan isteri akan berkongsi dan berbahagi tanggungjawab dan peranan termasuk soal menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Bila ia dipikul bersama, bebannya tidak terlalu dirasa.
Bahkan suami isteri akan saling menyokong emosi masing-masing. Kalau suami stres, isteri bantu tenangkan. Kalau isteri ada masalah, suami boleh bagi pendapat.
Tapi, bila diuji suami sakit, ia satu keadaan yang berat untuk isteri. Dia kini tidak ada lagi teman untuk meluahkan segala kesedihan, kegusaran, kebimbangan.
Sebabnya, tidak ingin membuatkan suami susah hati sedangkan keadaan dirinya sendiri saat itu tidak mampu memberikan apa-apa pertolongan pun.

Diuji Suami Sakit, Isteri Kena Reda
Salah satu daripada peranan dan tanggungjawab isteri adalah menjaga suami dan keluarga. Bila timbulnya ujian dan diuji suami sakit, sudah pasti tanggungjawab isteri untuk merawat dan menjaga suami dengan sebaik mungkin.
Sebenarnya ia tak semudah yang kita bayangkan. Bukan semua orang sanggup memikul tanggungjawab dan peranan sebagai penjaga pasangan yang telah sakit hingga ada pasangan suami atau isteri yang sanggup bercerai kerana tak sanggup susah senang lagi bersama pasangan yang sedang diuji sakit. Memang ada, termasuklah wanita!
Sepatutnya tak timbul hal seperti itu kerana apabila sudah seia sekata melafazkan janji setia untuk melayari bahtera rumah tangga bersama, perjanjian itu adalah untuk waktu susah dan senang. Bukan hanya waktu senang saja. Bila tiba waktu susah, pasangan dibuang begitu saja!
Sabar Kena Ekstra!!
Diuji suami sakit memang tak mudah tapi nak tak nak, kena hadap juga. Nak layan orang sakit memang susah dan kenal cekal. Selain perlu mengorbankan masa untuk menjaga, ‘care taker’ juga memerlukan kesabaran yang super tinggi ye!
Biasalah orang sakit, emosi mereka mudah terganggu hingga membuatkan mereka marah-marah. Jadi, memang kena banyak bersabar…sabar…sabar!!

Kehidupan Berubah
Kena terima hakikat, bila pasangan kita sakit kronik, banyak perkara kita perlu ubah dalam hidup termasuklah soal perbelanjaan untuk ubat-ubatan, yang perlu didahului.
Kalau hendak pergi bercuti, mungkin perlu mencari lokasi yang sesuai dengan keadaan pasangan yang sakit. Contohnya lumpuh separuh badan, perlu ambil kira banyak perkara. Misalnya homestay yang ditempah di tingkat bawah atau mempunyai kemudahan lif.
Jika dulu suka kegiatan mendaki atau berkhemah di dalam hutan, mungkin sudah tidak lagi sesuai.
Kena Fahamkan Anak-Anak
Antara cabaran juga untuk membuatkan anak-anak faham dan turut memainkan peranan masing-masing untuk meringankan beban ibu. Apabila tanggungjawab dipikul bersama seisi keluarga, pastinya beban itu lebih ringan.
Begitu juga andai anak-anak mula merungut kenapa kehidupan dah tak macam dulu. Kenapa tak boleh jalan-jalan macam famili orang lain? Jadi, tanggungjawab ibu untuk memberikan kefahaman pada anak-anak.
Mengadulah Pada Allah!
Bila kita rasa sedih, rasa tertekan, rasa putus asa, Solat lah. Angkat tangan dan berdoalah pada Allah SWT. DIA yang mampu menenangkan hati kita.
DIA juga yang mampu mencampakkan kekuatan di dalam hati kita. Semakin kita mendekatkan diri pada-NYA, pasti diri kita akan makin kuat dan kental menghadapi segala ujian mendatang!
Tip Tabah:
- Percaya bahawa Allah SWT ingin meningkatkan darjat kita bila diuji dengan ujian demi ujian.
- Sentiasa berlapang dada dengan ujian Allah. Pasti ada hikmah di sebalik.
- Yakin dan percaya bahawa Allah SWT takkan menguji seseorang hamba-NYA di luar kemampuannya. Jadi kena sabar dan reda.
- Berdampingan dengan orang-orang yang positif demi menyuntik semangat negatif dalam diri kita.