Ikan kembung masak asam rebus ini cukup simple cara masaknya. Bahan yang diperlukan juga tak banyak.
Masakan ini boleh dikatakan dalam kategori yang menyihatkan kerana tidak menggunakan minyak langsung. Tak perlu tumis atau goreng. Sebaliknya, konsep masaknya sekadar rebus dan reneh. Sesuai untuk dicuba bagi mereka yang ingin diet.
Asam rebus yang sedap, cukup rasa masam dan masinnya. Jadi, sangat penting untuk seimbangkan rasa. Tapi, bagi yang suka pedas, boleh gunakan lebih banyak cili padi untuk rasa lebih pedas. Terpulang pada diri masing-masing.
Masakan ini, memang membuka selera. Hirup macam tu pun sedap. Kalau rasa tak sihat, selain sup, boleh cuba masak ni juga.
Ikan Kembung Kaya Khasiat
Nama saintifik bagi ikan kembung ialah ‘Rastrellliger kanagurta’. Ikan ini hidup di laut dan kita boleh memasak ikan kembung dengan berbagai cara, mulai daripada menggorengnya hingga membuatnya menjadi pepes. Best kan?
Di sebalik rasanya yang sedap, ikan kembung juga kaya kandungan zat sehingga memberikan kebaikan pada kesihatan tubuh. Dalam ikan kembung, terdapat berbagai nutrisi. Di antaranya protein, kalsium, karbohidrat dan banyak lagi.
Sekiranya kita memakan ikan kembung secara rutin, pelbagai manfaat boleh kita dapati dari sudut kesihatan seperti:
1.Bantu Turunkan berat badan
Bagi yang mungkin sedang menjalani diet untuk menurunkan berat badan, ikan kembung boleh menjadi salah satu makanan pilihan. Ini kerana, ikan kembung kaya akan protein yang beranfaat untuk mempercepatkan proses metabolisme tubuh. Semakin cepat metabolisme tubuh, semakin banyak kalori akan dibakar. Jadi, sudah tentulah berat badan pun akan turut menurun kan?
Selain itu, semestinya protein sangat penting untuk diet kerana ia memberikan tenaga pada tubuh. Maka, kita akan kekal bertenaga saat menjalani aktiviti walau pun sedang diet. Taklah rasa lemah je.
2.Cegah Keradangan
Keradangan merupakan tindak balas semula jadi tubuh apabila mengesan zat asing yang boleh mendatangkan keburukan pada tubuh. Meski pun menjadi sebahagian daripada proses pelindungan diri daripada penyakit dan gangguan, keradangan dalam jangka panjang boleh menimbulkan pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung dan kanser.
Salah satu cara untuk mencegah keradangan pada tubuh adalah dengan meningkatkan pengambilan makanan kaya antioksidan. Selain buah, makanan tinggi antioksidan ada pada ikan, termasuklah ikan kembung.
Kandungan antioksidan pada ikan kembung ini memberi manfaat dalam melindungi sel-sel tubuh daripada keradangan akibat radikal bebas.
3. Ikan Kembung Untuk Menjaga Kesihatan Otot Dan Saraf
Dengan memakan ikan kembung secara rutin, ia turut bermanfaat untuk kesihatan otot dan saraf. Ini kerana ikan ini kaya akan kalium dan natrium.
Tubuh kita memerlukan kedua mineral ini agar otot dan saraf dapat berfungsi dengan baik. Kadar kalium atau natrium yang rendah dalam tubuh, meningkatkan risiko untuk mengalami lemah, lelah, atau nyeri pada otot (myalgia).
Di samping itu, kalium juga bertugas untuk menjaga keseimbangan natrium dalam tubuh. Tujuannya, kadar natrium tidak terlalu tinggi dan menyebabkan tekanan darah naik.
4.Sihatkan tulang
Untuk memastikan tulang kita kekal sihat dan kuat, kita memerlukan kalsium yang mencukupi. Kalsium boleh ditemui dalam banyak makanan termasuk ikan kembung.
Kandungan kalsium pada ikan ini berkhasiat untuk menjaga kekuatan tulang dan gigi. Apatah lagi setelah usia makin lanjut, peranan kalsium amatlah penting, iaitu mencegah osteoporosis dan patah tulang.
Walau bagaimana pun, untuk mendapatkan manfaat ikan kembung ini, kita juga perlu mencukupkan vitamin D. Sebabnya, vitamin D membantu tubuh menyerap kalsium yang ada pada makanan. Sumber vitamin D boleh didapati dengan mudah daripada sinar matahari pagi atau produk susu.
Cara Terbaik Memasak Ikan Kembung
Berbanding jika digoreng, ia akan meningkatkan kandungan lemak dan mungkin juga menghilangkan asid amino yang terkandung di dalamnya. Jadi, lebih baik memasaknya dengan cara merebus, mengukus, atau memanggang daripada menggorengnya.
Selain memilih cara memasak yang terbaik, kita juga perlu memastikan memilih ikan yang berkualiti baik. Pilih ikan yang segar, iaitu yang tidak berbau dan dagingnya tidak lembek atau berair.
Oleh itu, sangat sesuai sekali dengan resepi yang Suri kongsikan kali ini. Masakan ini memang lebih menyihatkan.
Resepi Ikan Kembung Masak Asam Rebus
Bahan-bahan:
4-5 ekor ikan kembung saiz sederhana – bersih dan kelar
1-2 keping asam gelugur
2 batang serai – ketuk
1 kiub bilis
10 batang bendi
1 biji tomato – belah 6
Daun kesum
Garam secukup rasa
Air
Bahan Kisar:
3-5 batang cili merah besar
5 – 10 biji cili padi (jika nak rasa pedas)
3 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
Cara Membuat Ikan Kembung Masak Asam Rebus:
Mula-mula siang ikan, lumur dengan limau nipis dan garam. Bersihkan dan kelar. Ketepikan. Di dalam kuali, masukkan bahan kisar. Masukkan pula air. Kacau dan masak hingga cili masak.
Boleh cuba resepi ini juga: Asam Pedas Lada Hitam Pari
Masukkan pula serai yang diketuk, asam gelugur dan tomato serta kiub ikan bilis. Masak lagi hingga kuah menggelegak.
Kemudian tambah daun kesum yang sudah dibersihkan, gaul rata. Perasakan dengan garam secukup rasa.
Masukkan pula ikan yang telah dibersihkan. Jangan kacau, takut ikan hancur. Biarkan ia mereneh.
Akhir sekali, masukkan bendi. Semak rasanya apakah sudah seimbang rasa masam, masin dan pedasnya. Jika dah okay dan bendi susah empuk, tutup api. Siap!
Makan dengan nasi putih panas-panas, memang ngam habis! Tambah pula musim hujan ni. Mantap!
Baca ini juga: Pasar Payang Terengganu