Pepahat Tumis Serai, Ratah Macam Tu Saja Pun Sedap

Pepahat tumis serai, sangat mudah cara penyediaannya. Bahan yang diperlukan juga cukup ringkas, yang kebiasaannya sudah tersedia ada di dapur rumah kita.

Siapa yang tak pernah makan pepahat ini? Hmm..ada juga yang ‘tak lalu’ nak makan kerana rupanya yang agak pelik. Tapi, jangan terperanjat. Sekali makan, terus jatuh cinta!

Pepahat adalah sejenis hidupan laut bercengkerang yang terdapat di pesisir air juga dipanggil sebagai Siput Buluh, Ambal, Razor Shell, Razor Clam, Bamboo Clamp, daripada keluarga Pharidae.

Sekali Cuba, Nak Lagi

Teksturnya yang kenyal-kenyal ketika dikunyah memang memberikan sensasi tersendiri. Biasanya ia dimasak secara tumis atau bakar.

Tapi awas ye. Kena bersihkan betul-betul kerana di bahagiannya ada pasir, lumpur dan sebagainya yang perlu dibersihkan dahulu. Takut nanti berulang-alik ke tandas pula.

Semak resipi ini juga: Resipi Sup Sedap

Cara Cuci Pepahat Dengan Soda Bikarbonat

Salah satu cara untuk mencucinya adalah merendamkannya terlebih dahulu di dalam air yang dicampurkan sedikit serbuk soda bikarbonat. Biarkan seketika. Setelah itu, cuci bersih dan barulah boleh dimasak mengikut selera masing-masing.

Kali ini Suri ingin kongsikan resipi paling mudah menggunakan pepahat. Resipi ni, boleh dimakan dengan nasi putih, bahkan kalau diratah macam tu pun sedap sambil menghirup kuahnya. Nak masak untuk sahur pun sesuai. Sebab ia tak ‘berat’ sangat dan sangat mudah disediakan. Tak ambil masa lama pun.

TAPI, yang penting, kena pastikan pepahat itu fresh ye. Baru ngam!

Baca ini juga: Menjelang Magrib

RESIPI PEPAHAT TUMIS SERAI

Bahan-Bahan:

  • 1kg pepahat – bersihkan
  • 2-3 batang serai – ketuk
  • 10 biji cili padi merah – hiris (bergantung kepedasan)
  • 1 inci halia – racik halus
  • 3-5 biji bawang merah – racik
  • 3-5 ulas bawang putih – racik
  • Air secukupnya
  • Minyak masak
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

CARA MEMASAK PEPAHAT TUMIS SERAI:

Panaskan minyak di dalam periuk, tumiskan bawang putih, bawang merah dan halia yang telah diracik tadi. Masukkan juga serai yang telah diketuk. Tumis hingga terbit bau wangi.

Masukkan pula hirisan cili padi dan tumis lagi. Nak pedas, banyakkan cili. Tapi kalau nak bagi anak makan, tak perlu masukkan. Cuma cili padi memang menambah kesedapan masakan ini.

Setelah itu bolehlah masukkan pepahat yang telah dibersihkan tadi. Masukkan air secukupnya. Kalau nak kuah lebih, masukkan lebih air. Kacau dari semasa ke semasa.

Setelah itu perasakan dengan garam secukupnya. Boleh tambah serbuk perasa jika mahu.

Tutup seketika kuali dan biar ia mereneh.

Tutup api. Bolehlah dihidangkan.

Cuba resipi lokan ini juga.

Leave a Comment!

error: Content is protected !!