Resepi kek butter premium cara Youtuber masakan terkenal Che Nom memang sangat mudah dan sedap sampai tak perasan kita dah banyak makan.
Siapa tak suka menikmati keenakkan rasa kek butter yang sedang elok je rasanya tak manis sangat dan tak muak sangat. Memang ngam sangat kalau digandingkan dengan teh O panas untuk hidangan minum petang sekeluarga.
Memang tak rugi kalau cuba buat sendiri kek butter guna resepi yang dikongsi oleh Youtuber masakan terkenal Che Nom.
Resepi Kek Butter Premium

Menurut Che Nom antara perkara utama yang menentukan kesedapan kek butter adalah pemilihan butter sebagai bahan utamanya. Lagi premium butter yang kita gunakan lagi sedap kek yang dibuat.
Jadi suri-suri kena tahu bezakan antara butter dan marjerin kerana kedua bahan tersebut adalah berbeza. Butter adalah sejenis produk tenusu diperbuat daripada susu atau krim. Manakala marjerin tidak diperbuat daripada hasil tenusu. Ia diperbuat daripada minyak sayuran, garam dan emulsifier (bahan penstabil).
Butter dapat memberi rasa yang lebih creamy, bau yang wangi serta tekstur yang cantik kepada biskut dan pastri.
Rasa marjerin pula biasanya bergantung kepada jenis minyak yang digunakan dalam pembuatannya, jadi anda kena tengok label betul-betul. Selalunya marjerin yang mengandungi kandungan lemak yang lebih tinggi lebih sedap rasanya.
Bahan-bahan
- 250g /2 cawan tepung naik sendiri
- 200g /1 cawan gula kastor
- 1 sudu kecil serbuk penaik
- ½ sudu kecil garam
- 250g mentega tak bergaram
- 4 biji telur (saiz A atau B)
- 1 sudu kecil esen vanila
- 80ml / 1/3 cawan susu penuh krim
NOTA: Jika guna tepung gandum atau tepung kek, sukatan baking powder ialah 2 sudu kecil Jika guna mentega salted, tidak perlu lagi tambah garam.
Cara buat kek butter
- Campurkan tepung naik sendiri dan serbuk penaik (ayak terlebih dahulu) yang sudah ditimbang ke dalam mangkuk.
- Masukkan mentega yang sudah lembut tapi bukan cair (suhu sejuk bukan suhu bilik) ke dalam mangkuk pemutar. Putar dalam mode medium, kemudian masukkan gula kastor sedikit demi sedikit sampai kembang dan warna bertukar pucat dan tekstur ringan.
- Bila dah warna pucat masukkan telur sebiji demi sebiji dan putar sampai sebati.
- Masukkan esen vanila untuk kurangkan bau telur.
- Masukkan tepung dan susu berselang seli sampai habis.
- Tak perlu kacau lama sangat selepas tepung dah dimasukkan terutama kalau guna tepung gandum untuk elak gluten terhasil lebih. Nanti kek jadi keras.
- Kemudian kacau guna tangan je sampai sebati. Tuang kesemua adunan dalam loyang dan ratakan. Sebelum masuk dalam oven hentak dua-tiga kali supaya tiada gelembung udara terhasil dalam kek masa kita bakar.
- Bakar dalam oven pada suhu 160 – 170 darjah celcius (ikut oven masing-masing) selama 35 hingga 45 minit guna api atas dan bawah.
- Guna loyang saiz 8 x 8 inci, gris dulu permukaan loyang dengan butter sebelum lapik dengan kertas baking.