Resepi nasi minyak ini memang mudah sangat. Bahan pun sangat ringkas namun rasanya tetap sedap. Nasi minyak biasanya dihidangkan dan dimakan di kenduri kendara seperti majlis perkahwinan serta pada hari raya.
Tapi kalau ke negeri Terengganu, nasi minyak adalah antara hidangan sarapan pagi yang popular di negeri tersebut selain nasi dagang. Lauknya pula biasanya gulai daging atau gulai ayam, acar mentah dan sambal belacan. Jadi, kalau nak makan nasi minyak hari-hari, pergilah ke negeri Terengganu ye.
Oh ye. Selain gulai daging/ayam, nasi minyak juga enak dimakan dengan ayam masak merah. Terpulanglah kepada selera kita masing-masing kan. Suka yang berkuah, boleh buat gulai, kalau suka yang kering, ayam masak merah pilihan tepat.
Tapi untuk anak-anak, biasanya mereka lebih suka ayam masak merah lah kan?
Macam-Macam Versi Resepi Nasi Minyak
Nasi minyak ini sendiri ada macam-macam versi. Ada yang gunakan susu cair, ada yang masukkan sos tomato, ada yang masukkan pati Sunquick dan macam-macam lagi. Tapi, kali ini, Suri nak kongsikan versi yang sangat simple. Tak perlu semua tu pun.
Sesiapa saja boleh memasaknya kerana caranya sangat mudah. Yang baru nak belajar masak nasi minyak pun boleh cuba versi yang Suri kongsikan ini.
Suri masak guna rice cooker. Bubuh semua bahan, biarlah hingga masak. Ha…senang kan?
Okay. Nak tahu cara masak resepi nasi minyak yang mudah ini? Jom.
Bahan-Bahan Resepi Nasi Minyak:
4 pot beras – Suri gabungkan 2 pot beras Basmathi dan 2 pot beras wangi
1 biji bawang merah besar – hiris nipis
2 inci halia – hiris nipis
Rempah 4 beradik – kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang
1 helai daun pandan
Sedikit minyak masak
1 sudu minyak sapi
2 sudu mentega
Sedikit susu cair
Garam
Air
Cara Memasak Resepi Nasi Minyak:

Mula-mula, beras dicuci bersih dan rendam dahulu sekitar 10-15 minit. Kemudian toskan.
Setelah itu, panaskan rice cooker dan letakkan sedikit minyak masak, mentega dan minyak sapi.

Setelah ia mula panas, masukkan rempah empat beradik dan tumis hingga naik bau.
Masukkan pula hirisan bawang dan halia tadi. Tumis lagi hingga terbit wangi dan warna bawangnya agak kekuningan. Masukkan pula daun pandan. Tumis lagi.

Kemudian masukkan sedikit susu cair. Sukatan beras ini dalam 7 pot air, Suri masukkan 1 pot susu cair. Setelah itu, masukkan beras yang telah ditoskan tadi.

Gaul seketika biar sebati. Kemudian, tuangkan air secukupnya. Suri gunakan sekitar enam pot (gunakan pot sama untuk ukur beras tadi). Masukkan garam secukupnya. Gaul sedikit dan tutup periuk. Biarkan nasi masak.
Apabila nasi sudah masak, berhati-hati gaul sedikit dan jika nak cantikkan nasi, bolehlah titiskan sedikit pewarna. Suri gunakan pewarna merah. Kalau tak ada pewarna, pati sirap pun boleh tau. Gaul perlahan agar nasi tidak ‘patah’.

Dah siap! Wangi semerbak satu rumah tau bau!
Semak Resipi ini juga: Ayam Ros Penang
Kali ini, Suri gandingkan dengan ayam masak merah kerana anak-anak suka ayam masak merah.
Bahan-bahan Ayam Masak Merah:

10 ketul ayam – bersihkan
1 tin kecil tomato puri
Sedikit sos tomato
Sedikit sos cili
1 batang serai – ketuk
Garam dan gula
1-2 sudu cili kisar
Minyak masak
Bahan Kisar:
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1-2 inci halia
Cara Memasak:
- Ayam dilumur dengan garam dan kunyit.
- Goreng dahulu separuh masak. Angkat dan toskan.
- Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bahan kisar tadi, diikuti cili kisar dan tumis hingga terbit bau. Masukkan juga serai. Tumis lagi.
- Masukkan tomato puri dan kacau lagi.
- Setelah itu, masukkan sos tomato dan sos cili. Gaul dari semasa ke semasa hingga kuah pecah minyak.
- Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masukkan ayam yang telah digoreng dan gaul sebati. Siap!
Semak resipi ini juga: Ayam Lemon
Suri juga gandingkan dengan acar timun mentah.

Bahan-bahan Acar Timun:
1 batang timun – buang bahagian tengah dan hiris memanjang
3 biji bawang merah – hiris
5 biji cili padi – hiris
1 batang cili merah besar – hiris
Cuka
Garam dan gula
Cara Membuat:
Satukan kesemua bahan dalam satu mangkuk, gaul sebati. Seimbangkan rasa masin, masam dan manisnya. Boleh tambah hirisan lobak merah juga. Tapi Suri gunakan apa yang ada saja ye.
Selain itu, nak lagi umph, sambal belacan jangan lupa ye!