Resipi sambal balado udang terung ini memang sangat sedap bila dimakan dengan nasi putih panas-panas. Boleh buat bertambah nasi tau walau pun hanya satu lauk ni je.
Bulan Ramadan dah tak lama lagi akan menjelma tiba. Tentunya mak-mak sibuk mengumpul resipi untuk dimasak sepanjang Ramadan nanti.
Resipi Sambal Balado Udang Terung Sesuai Untuk Berbuka Atau Sahur
Resipi sambal balado udang terung juga boleh disesuaikan tahap kepedasan mengikut cita rasa kita sendiri. Kalau memang suka pedas, boleh gunakan cili padi semata. Tapi kalau nak kurangkan kepedasan, tambah cili besar merah lebih sikit. Maklumlah, kenalah jaga perut setelah seharian berpuasa. Kang sakit perut pula nanti.
Atas desakan waktu yang terhad terutama bagi wanita yang bekerja, masakan seperti sambal balado udang terung ini memang sangat sesuai untuk dijadikan salah satu juadah berbuka mahu pun bersahur.
Sesuaikan Dengan Selera
Ia bukan saja sedap bahkan bahan untuk memasaknya juga sangat ringkas dan tidak susah nak dimasak. Bahkan hidangan sebegini memang mampu membuka selera! Sekali cuba, gerenti esok nak masak lagi!
Oh ye, PENTING! Pastikan masak sambal cili itu hingga betul-betul masak. Kalau tak cukup masak, boleh sakit perut. Selain itu, ia akan tahan lebih lama walau pun tak disimpan dalam peti sejuk. Kalau masak hari ni, esok masih elok lagi.
Baca : Resepi Daging masak Kicap
RESIPI SAMBAL BALADO UDANG TERUNG
BAHAN-BAHAN:
- 3-4 batang terung panjang ungu saiz sederhana – potong dan bersihkan
- 1kg udang putih – bersihkan
- 20-30 biji cili padi hijau
- 10-20 batang cili merah besar
- 2 biji bawang merah
- 1 keping asam gelugur
- Sedikit garam
- Sedikit serbuk kunyit
- Minyak untuk menggoreng
Cara Memasak Resipi Sambal Balado Udang Terung:
Kisar atau tumbuk halus cili padi, cili merah besar dan bawang merah. Ketepikan. Dalam masa yang sama, gaul udang dengan serbuk kunyit dan sedikit garam.
Masukkan minyak di dalam kuali, goreng terung yang sudah dipotong hingga layu. Angkat dan toskan. Setelah itu, menggunakan minyak yang sama, goreng udang pula hingga agak garing. Angkat dan toskan.
Tinggalkan minyak secukupnya di dalam kuali. Tuang bahan kisar tadi ke dalam mnyak yang telah cukup panas. Setelah itu, masukkan sekeping asam gelugur. Kacau dari semasa ke semasa agar ia tidak hangit.
Goreng hingga sambal masak sepenuhnya dan naik minyak. Tambah minyak jika perlu kerana untuk mendapatkan sambal yang cantik, mesti menggunakan minyak secukupnya.
Kemudian check rasanya sama ada cukup masam, pedas dan masinnya. Masukkan udang dan terung yang telah digoreng dan gaul sebati.
Angkat dan tutup api. Siap. Sedap dimakan dengan nasi panas! Mudah kan?
Boleh cuba juga resipi ini: