Resipi sambal cili terung ini cukup mudah nak membuatnya. Bahan pun tak banyak. Sesuai untuk mereka yang sukakan masakan bersambal dan pedas. Hidangan ini memang boleh membuka selera.
Resipi Berasaskan Terung
Siapa yang suka terung? Suri memang memang cukup suka dengan terung ni. Terung ini juga boleh dimasak dengan bermacam jenis masakan, misalnya masak lemak dan sebagainya.
Bahkan ada yang jenis boleh dimakan mentah dan sedap dibuat ulam. Sedikit info tentang sayuran ini. Terung ialah sayuran yang ditanam untuk dimakan. Terdapat banyak varieti terung dimana ia dibezakan dengan bentuknya, warnanya, saiznya dan juga kegunaannya.
Warna terung pelbagai daripada berwarna ungu, hijau, putih, pucat, kuning dan ada yang mempunyai jalur pada buahnya. Kulit terung kebanyakannya adalah licin berkilat akan tetapi ada juga yang berbulu (haired). Bentuk buahnya pula ada yang bulat, panjang, bujur dan oval.
Semak resipi ini juga:
Jenis Terung
Di antara jenis terung adalah Terung Panjang, Terung Bulat, Terung Dayak, Terung Pipit, Terung Bulu, Terung Rapuh, Terung Telur, Terung Putih dan Terung Meranti serta beberapa lagi.
Kali ini Suri nak share satu resipi yang cukup mudah tapi tak kurang sedapnya. Untuk masakan ini, Suri gunakan terung ungu panjang tu ye. Cuba tau, rugi tak cuba!
RESIPI SAMBAL CILI TERUNG
BAHAN-BAHAN:
3-4 batang terung panjang ungu saiz sederhana – potong dan bersihkan
20-30 biji cili padi
5 biji cili merah besar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 keping asam gelugur
Sedikit garam
Minyak untuk menggoreng
Cara Memasak Resipi Sambal Cili Terung:
Kisar atau tumbuk halus cili padi, cili merah besar, bawang merah dan bawang putih. Ketepikan.
Masukkan minyak di dalam kuali, goreng terung yang sudah dipotong hingga layu. Angkat dan toskan.
Tinggalkan minyak secukupnya di dalam kuali. Tuang bahan kisar tadi ke dalam mnyak yang telah cukup panas. Setelah itu, masukkan sekeping asam gelugur. Kacau dari semasa ke semasa agar ia tidak hangit.
Goreng hingga sambal masak sepenuhnya dan naik minyak. Kemudian check rasanya sama ada cukup masam, pedas dan masinnya.
Setelah sambal masak sepenuhnya, barulah masukkan terung yang telah digoreng dan gaul perlahan agar ia bersalut sempurna. Biarkan buat seketika. Angkat dan tutup api.
Siap. Sambal ini sedap dimakan dengan nasi panas! Mudah kan?