Rumah bersih walau ada anak kecil | Mencabar sebenarnya nak jadikan rumah kekal bersih ketika ada anak-anak kecil. Suri sendiri pernah terbaca komen seorang ibu.
Katanya, “kalau nak rumah bersih, dalam rumah tu kena tiada suami dan anak-anak.”
Nampak sangat kan, betapa tak mudahnya rumah bersih ada anak kecil kan.
Takkan nak minta anak-anak keluar rumah pula kan. Mana boleh macam itu, anak-anak pun sebahagian daripada kebahagiaan suri juga.
Boleh sebenarnya nak jadikan rumah kekal bersih, walau anak kecil ada di sekitar kita. Cuma ibu kena ekstra ‘work hard’ atau ‘rajin terlebih’. Tapi, jangan sampai paksa diri tau.
Nanti suri penat sendirian.. habis tenaga. Langsung lain jadinya. Nak kemas rumah ini biar kita chill chill saja. Asalkan tahu panduannya.
Panduan Jadikan Rumah Bersih Walau Ada Anak Kecil

Storage Itu Penting
Maksudnya di sini, masukkan barang-barang dalam bekasnya. Misalnya barang pencuci, letakkan di dalam satu bekas storage yang sama.
Beli storage yang bersaiz sama dan susun di tempat yang anak susah capai. Susun kemas-kemas, labelkan untuk mudahkan suri membuat pencarian.
Bila ada anak kecil, tak nafikan rumah pun sarat dengan permainan. Sediakan juga storage untuk permainan anak-anak.
Sebaik mereka selesai bermain, boleh masukkan kembali dalam storage. Ajarlah mereka mengemas sama agar rumah bersih. Mudah nanti.
Ibu Kena Multitasking Agar Rumah Bersih Bak Idaman
Mak-mak kita dulu, sambil masak pun boleh kemas rumah, basuh baju. Bak kata orang tua, kena cargas. Tapi, kalau anak sejenis merengek payah juga kan.
Jadinya, cubalah buat sambil-sambil orang kata.
Bila anak perlukan mak. Berhentilah dahulu. Bila anak sedang leka bermain, atau tidur. Masa itulah, mak cuba mengemas mana bahagian yang paling perlu dikemas dahulu.
Misalnya, bersihkan oven dapur. Bersihkan sinki dulu. Bila sinki dah bersih. Auto hati jadi lapang. Lepas itu, barulah beralih bersihkan dapur masak pula. Dan begitulah seterusnya.
Bila anak terjaga, berhenti. Dan layan anak semula. Jangan pula, suri stress ya. Buat sambil-sambil asalkan hati senang.

Declutter Barang Sebelum Anak Bangun
Penting untuk suri lakukan declutter barang dalam rumah. Iaitu mengasingkan dan menyisihkan mana-mana barang yang tidak perlu yang ada dalam rumah tu.
Perkara paling utama yang perlu ada dalam diri, ‘jangan sayang barang’. Boleh ada sentimental value tu. Tapi kalau simpan bekas plastik pakai buang sampai penuh dalam almari pun tak bagus juga.
Kenalah susun dan buang mana yang tidak perlu.
Rumah bila ada anak kecil ini, sebaiknya pilihlah konsep minimalis saja. Baik perabot mahupun barangan gajet-gajet dapur. Biar yang penting saja yang ada dalam rumah.
Bila nak buat semua itu. Lakukan bila anak sedang tidur. Bila anak dah besar sikit dan dan pandai menyusun, ajarlah dia sama.
Nanti mudah suri dibuatnya.
Pengurusan Masa Yang Tip Top
Ini paling penting. Sebab jika suri berada di rumah, serius kerja rumah itu sendiri sememangnya banyak. Dari mengemas, membasuh, menyidai, memasak, mengemas balik semula. Semua itu surilah kena buat sendiri.
Jadi, cuba usahakan buat jadual.
Agar tak terlepas kerja-kerja penting yang perlu dilakukan segera. Uruskan anak awal-awal. Baik memandikan atau menyuapkan makanan. Bila dah selesai hal anak awal, boleh buat yang lain-lainnya.
Baca : Tip kawal anak mengamuk dengan tenang

Ajak Anak Main Game Kemas Rumah
Bila tengok rancangan Marie Kondo, dia akan libatkan anak untuk sama-sama kemas rumah. Anak-anak lipat kain baju sama-sama.
Kerana, anak melihat apa yang ibunya buat.
Bila-bila ada masa lapang, ajaklah anak-anak main game kemas rumah. Misalnya lipat kain baju. Siapa susun paling kemas dapat hadiah.
Bila anak seronok, nanti dengan sendirinya anak-anak pun jatuh suka untuk memastikan rumah kemas sentiasa.