Wanita Kuat Demi Anak-Anak Walau Tanpa Suami Di Sisi

Wanita kuat demi anak-anak. Betul kan? Walau pun kehilangan suami sebagai tempat bergantung, namun kehadiran insan-insan yang masih memerlukan perhatian, jagaan dan kasih sayang menjadi sumber kekuatan wanita yang bergelar ibu.

Jodoh Pendek Atau Maut Memisahkan

Kata orang, kehilangan orang tersayang kerana dipisahkan oleh kematian lebih memeritkan. Namun, biasanya kehilangan itu lebih ‘manis’ walau pun teramat perit. Ini kerana perpisahan itu terjadi di saat masing-masing masih saling menyayangi. Masih bahagia bersama.

Namun, Allah menetapkan jodoh sekadar itu saja. Lantas segalanya diterima dengan reda dan tabah.

Berbeza andai perpisahan itu berpisah hidup, atau perceraian. Ya, memang ada perceraian secara baik. Pasangan yang bercerai itu masih dapat mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.

Namun, sering kali juga terjadi, perpisahan itu penuh ‘drama’ kesedihan, kemarahan, kebencian dan sebagainya lagi.

Perceraian terjadi atas banyak sebab. Tapi yang pasti, apabila tiada lagi keserasian dan tiada lagi rasa kasih dan saling menghormati, jalan terbaik adalah berpisah.

Baca artikel ini juga: Rujuk Kembali

‘Berkawan’ Demi Anak-Anak

Walau bagaimana pun, jangan sampai anak-anak pula yang menjadi mangsa. Mungkin tak boleh lagi berbaik, namun cubalah untuk bertolak ansur demi anak-anak. Jangan sampai anak-anak kehilangan kasih sayang seorang ayah.

Selepas perceraian, biasanya hak penjagaan anak-anak yang masih kecil akan jatuh pada si ibu. Namun jangan pula ayah lepas tangan walau pun sudah memberikan nafkah yang sepatutnya. Anak-anak tetap memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada seorang ayah.

Begitu juga bagi si ibu. Jangan sesekali menghalang hubungan si ayah dengan anak-anak. Jangan sampai kita tanpa sedar menjadi ibu yang ‘zalim’ pada anak-anak kerana menghalang hubungan ayah dan anak. Kena ingat sampai bila-bila pun mereka tetap ada pertalian darah yang tak boleh dinafikan.

Memang tak semudah yang orang lain lihat. Diri kita sendiri yang rasa. Tapi, cubalah bersabar dan bertolak ansur demi anak-anak. Demi kebaikan anak-anak kita juga. Dan sudah pastinya, seorang wanita itu kuat demi anak-anaknya.

Wanita Kuat Sanggup Single Demi Anak

Wanita Kuat Demi Anak-Anak Walau Tanpa Suami Di Sisi

Selepas kehilangan pasangan hidup sama akibat perceraian atau kematian, wanita biasanya sukar dan ambil masa untuk kembali menerima lelaki lain dalam hidup apatah lagi jika ada anak.

Berapa ramai wanita yang kekal hidup solo kerana memikirkan anak-anak. Risau kalau lelaki yang ingin menyunting mereka nanti tak dapat terima anak-anaknya. Dan begitu juga anak-anak, takut tak dapat terima lelaki itu sebagai ayah baru mereka.

Namun, di sebalik kekuatan diri mereka pasti tetap memerlukan sokongan emosi daripada orang terdekat. Beruntung andai ada rakan-rakan rapat dan ahli keluarga yang boleh jadi tempat meluahkan perasaan dan berkongsi susah senang bersama. Rasa ringan sikit beban di bahu walau pun sekadar tempat meluahkan.

Wanita Kuat Demi Anak-Anak

Wanita akan bangkit daripada kekecewaan dan kesedihan demi anak-anak. Mereka akan cepat ‘move on’ supaya dapat membina hidup baru. Anak-anak segala-galanya. Biar dia susah asalkan dapat memberikan keselesaan pada anak-anak. Soal jodoh ditolak ke tepi.

Dialah Ibu, Dialah Bapa

Wanita Kuat Demi Anak-Anak Walau Tanpa Suami Di Sisi

Wanita kuat demi anak-anak. Namun, tak senang memikul dua ‘topi’ sekali gus; sebagai ibu dan ayah. Macam mana nak bahagikan masa untuk mencari rezeki dan menjaga anak-anak. Sakit pening anak, hal persekolahan anak-anak, semuanya terpikul di bahu ibu.

Beruntunglah kalau si ayah masih sanggup memikul tugas itu bersama. Masih membantu menghantar anak-anak ke sekolah, hantar ke klinik bila anak-anak sakit. Selalunya tak begitu. Lebih ramai menyerahkan segala tanggungjawab itu pada bekas isteri. Adil ke?

Baca ini juga: Doa Mustajab Depan Kaabah

Anak Lelaki VS Anak Perempuan

Biasanya anak-anak lebih takut pada ayah dan bila ayah tidak lagi bersama, tugas ibu lebih sukar. Lebih-lebih lagi bila memiliki anak lelaki.

Anak lelaki memerlukan figura seorang ayah untuk mereka contohi dan ikuti. Berbanding anak perempuan, pasti ibu lebih memahami situasinya kerana sama jantina. Tapi lelaki, ada perkara yang mungkin sukar untuk dikongsi. Sebab itulah, peranan seorang ayah tetap diperlukan dalam mendidik anak-anak.

Apa pun itulah cabaran bergelar ibu tunggal yang terpaksa dihadap walau sesukar mana pun ia. Syabas kepada ibu-ibu yang mampu mendidik dan menjaga anak-anak sendirian. Jadikan kejayaan teman senasib yang lebih berjaya setelah bergelar ibu tunggal.

Lihat sekeliling. Berapa ramai ibu tunggal yang lebih berjaya bahkan kaya raya selepas bercerai. Maka, ingatlah. Tanpa insan bergelar lelaki di sisi pun, wanita yang kuat tetap boleh berjaya. Demi anak-anak, demi diri sendiri juga! Ya, wanita kuat demi anak-anak!

Tip Jadi Wanita Kuat Demi Anak-Anak:

  • Paling penting, sentiasa BERDOA kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menjalani kehidupan bersama anak-anak.
  • Berfikiran positif dan cepat move on. Jangan terus berlama-lama dalam kedukaan. Masih ada anak-anak yang memerlukan kita.
  • Jangan biarkan kata-kata negatif dan hinaan orang menjatuhkan emosi kita sebaliknya jadikan pemangkin semangat untuk terus berjaya.

Leave a Comment!

error: Content is protected !!