5 punca terjadinya keganasan rumah tangga ini perlu diambil perhatian oleh para wanita. Tiap orang yang berkahwin tentunya mengimpikan untuk hidup bahagia dalam perkahwinan hingga ke hujung usia.
Dalam rumah tangga, masalah dan pertelingkahan itu normal. Ia juga adalah proses untuk pasangan itu lebih saling memahami.
Namun, ada yang kurang bernasib baik. Rumah tangga yang terbina umpama ‘neraka’ apabila diri mereka didera mental atau fizikal. Mereka ini mengalami keganasan dalam rumah tangga.
Sering kali dikaitkan keganasan rumah tangga oleh suami yang mendera isterinya. Bukan tak ada kes isteri mendera atau melakukan keganasan rumah tangga pada suami, namun kesnya sangat sedikit berbanding kes suami mendera isteri.
Selain itu, kes penderaan pada anak-anak juga termasuk dalam kes keganasan rumah tangga.
Keganasan Rumah Tangga Makin Meningkat

Yang semakin membimbangkan, kes melihatkan keganasan rumah tangga telah semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Dilaporkan di dalam akhbar Berita Harian, 10 Mac 2022, jumlah kes keganasan rumah tangga meningkat sebanyak 42 peratus, tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata sebanyak 7,468 kes keganasan rumah tangga direkodkan, tahun lalu, berbanding 5,260 pada 2020.
Sebanyak 3,028 panggilan membabitkan kes keganasan rumah tangga diterima melalui Talian Kasih 15999 bagi tempoh Januari hingga Disember 2021.
Kesan Buruk Akibat Keganasan Rumah Tangga
Keganasan dalam rumah tangga ini selalunya melibatkan penderaan fizikal dan mental serta penganiayaan, malah pembunuhan juga berlaku.
Keganasan dalam rumah tangga ini bukan sahaja menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal, malah menyebabkan mangsa penderaan tersebut mengalami trauma terutamanya kanak-kanak.
Terdapat juga mangsa yang mengalami kecacatan kekal seperti lumpuh. Lebih mengerikan lagi, apabila ada mangsa yang meninggal dunia! Seram kan?
Apa Punca Terjadinya Keganasan Rumah Tangga?

Selalunya, keganasan rumah tangga ini akan ‘dipendamkan’ oleh mangsa dan ini membuatkan mereka tak mendapat pertolongan sewajarnya. Kalau pun diketahui, biasanya sudah teruk.
Antara penyebabnya, mangsa rasa malu untuk berkongsi dengan orang lain bahawa dirinya menjadi mangsa dera atau keganasan rumah tangga walau pun dengan keluarga terdekat.
Selain itu, sikap pendera itu sendiri yang pandai memanipulasikan kelemahan mangsa. Contohnya, suami yang akan merayu-rayu meminta maaf tiap kali selepas berlaku kasar pada mangsa. Kemudian akan melayan mangsa dengan baik sebagai tanda minta maaf.
Malangnya, ia akan terus berulang selepas mangsa memaafkan.
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada keganasan dalam rumah tangga ini.
1. Gagal Kawal Emosi
Kegagalan untuk mengawal kemarahan atau sikap panas baran sesetengah pasangan ini merupakan salah satu punca keganasan dalam rumah tangga terjadi.
Sikap panas baran ini juga menyebabkan sesetengah pasangan hilang pertimbangan sehinggakan sanggup memukul anak-anak dan pasangan masing-masing saat marah.
Sebagai contoh, si suami cepat naik tangan apabila anak-anak dan isteri membuat kesilapan kecil. Hal ini akan menyebabkan keganasan dalam rumah tangga berlaku yang akan meninggalkan trauma kepada anak-anak dan pasangan masing-masing.
2.Masalah Kewangan
Masalah kewangan juga membawa kepada keganasan dalam rumah tangga. Masalah kewangan dalam rumah tangga ini menyebabkan kerap kali berlaku pertengkaran antara suami isteri. Anak-anak juga akan turut terseret sama.
Kebiasannya keluarga yang menghadapi masalah kewangan yang teruk ini ialah keluarga yang berpendapatan rendah tetapi mempunyai ramai anak. Hal ini menyebabkan si suami akan melempiaskan tekanannya kepada si isteri dengan memukulnya bahkan anak-anak juga akan turut menjadi mangsa tempat melempiaskan kemarahan.
3.Kurang Ilmu Agama
Faktor ini sangat penting namun sering kali diabaikan. Pegangan agama yang rapuh juga membawa kepada keganasan dalam rumah tangga. Tiada pegangan agama yang kuat menyebabkan pasangan salah faham terhadap bentuk didikan kepada anak-anak yang dianjurkan oleh agama.
Misalnya, terdapat agama yang menganjurkan supaya anak-anak dirotan ataupun didenda sekiranya melakukan kesilapan yang sama berulang kali dengan tujuan untuk mendidik.
Walau bagaimana pun, ibu bapa yang pegangan agamanya rapuh akan mentafsirkan ajaran ini dengan salah. Mereka merotan dan mendenda anak-anak mereka sehingga mendatangkan kecederaan dan trauma sedangkan merotan dan mendenda yang dimaksudkan oleh agama tersebut adalah untuk tujuan mendidik dan memberi pengajaran semata-mata.
4.Masalah Dadah, Alkohol Dan Judi
Di samping itu, amalan gaya hidup yang tidak sihat juga boleh mendorong terjadinya keganasan dalam rumah tangga.
Pengambilan alkohol dan dadah oleh suami misalnya, menyebabkan pertengkaran antara pasangan kerap berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka akan hilang rasa tanggungjawab terhadap keluarga.
Minuman beralkohol dan dadah akan menyebabkan pasangan hilang kewarasan sehingga sentiasa marah-marah dan memukul isteri dan anak-anak.
Terdapat juga suami penagih dadah yang memukul isteri demi untuk mendapatkan wang membeli bekalan dadahnya. Lebih parah lagi, ada yang sanggup melacurkan isterinya untuk memperoleh wang bagi membeli dadah!
Selain itu, suami yang terlibat dengan judi juga akan menyebabkan keganasan dalam rumah tangga. Bila asyik berjudi, duit juga akan sentiasa tiada hingga keperluan keluarga juga terabai. Pasti hal ini akan mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran.
Kemuncaknya, bila keadaan makin tak terkawal, suami sanggup memukul isteri dan anak-anak sehingga mengalami kecederaan yang teruk.
5. Faktor Curang
Ini juga boleh menjadi faktor hingga tercetusnya keganasan dalam rumah tangga. Misalnya suami berlaku curang pada isteri dan diketahui isteri.
Bila isteri marah dan minta penjelasan, suami mula naik angin hingga akhir sanggup memukul isteri pula. Suami seolah-olah cuba menutup kesilapan yang dilakukannya dengan perbuatan dera ke atas isteri. Memang tak patut!
Baca ini juga: Tip Ubah Derita Jadi Bahagia Daripada Dr Fadzilah Kamsah
Wanita Kena Tahu Hak
Sebagai wanita dan isteri, kita semua wajib tahu akan hak kita sekiranya terjadinya perkara ini ke atas diri sendiri atau anak-anak. Di Malaysia, ada undang-undang yang akan melindungi mangsa.
Yang penting, jangan takut dan malu untuk lapor. Jangan biarkan diri terus menjadi mangsa penderaan dalam rumah tangga.
Akta Keganasan Rumah Tangga

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu mengambil langkah yang signifikan untuk memastikan kadar keganasan rumah tangga di Malaysia berkurang dengan pantas. Jika masalah ini tidak dibendung dengan cepat dan berkesan, maka masa depan negara kita akan gelap kerana negara dipenuhi dengan individu-individu yang mengalami tekanan mental yang teruk.
Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Pindaan) 2017 telah dikuatkuasakan di seluruh Malaysia. Jenayah keganasan yang dilakukan dalam rumahtangga kian meningkat dan kini merupakan masalah sosial.
Isu sosial ini boleh membawa kepada keruntuhan masyarakat sekiranya tidak dibendung. Akta Keganasan Rumahtangga 1994 adalah satu undang- undang yang memberi perhatian yang khusus dalam hal-hal keganasan rumahtangga dengan memperuntukan beberapa cara penyelesaian bagi kes-kes sedemikian.
Dalam akta ini, mereka yang berikut boleh membuat aduan jika sesuatu keganasan rumah tangga sedang berlaku kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat atau Pegawai Polis yang juga bertindak sebagai Pegawai Penguatkuasa.
Suami/Isteri.
Bekas suami/isteri.
Anak lelaki atau anak perempuan.
Ibu atau bapa, abang, kakak, adik atau,
Mana-mana saudara lain yang pada pendapat mahkamah adalah seorang anggota keluarga tersebut.
peguam mangsa itu; atau
dalam hal jika mangsa itu ialah seorang kanak-kanak atau orang dewasa tidak berkeupayaan, penjaga, saudara atau orang yang bertanggungjawab bagi menjaga kanak-kanak atau orang dewasa tidak berkeupayaan itu, atau seorang pegawai kebajikan masyarakat selain pegawai kebajikan masyarakat yang diberi kuasa
Suatu permohonan bagi suatu perintah perlindungan boleh dibuat di mana-mana daerah yang :
Mangsa itu tinggal;
Orang yang terhadapnya perlindungan itu diminta tinggal;
Keganasan rumah tangga yang dikatakan itu berlaku; atau
Mangsa itu ditempatkan buat sementara
Keganasan rumah tangga ditakrifkan seperti perlakuan mana-mana perbuatan tersebut:
Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan dan kecederaan fizikal.
Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal.
Memaksa mangsa dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan berbentuk seksual ataupun selainnya yang mangsa itu berhak tidak melakukannya.
Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.
Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu. dengan cara yang menyalahi undang-undang atau
Dalam hal jka mangsa adalah seorang kanak-kanak, menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan.
Menyebabkan penderaan psikologi yang termasuk kecederaan emosi kepada mangsa.
Menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lainn tanpa kerelaan itu diperoleh
Dengan curang menggelapkan harta mangsa yang menyebabkan mangsa itu mengalami kesedihan kerana kerugian kewangan;
Mengugut mangsa dengan niat untuk menyebabkan mangsa itu takut akan keselamatan dirinya atau keselamatan hartanya, takut akan keselamatan pihak ketiga, atau mengalami kesedihan;
Berhubung dengan mangsa, atau berhubung dengan pihak ketiga tentang mangsa, dengan niat untuk mengaibkan kehormatan mangsa itu melalui apa-apa cara, elektronik atau selainnya;”;
Pegawai Kebajikan Masyarakat yang bertindak sebagai Pegawai Penguatkuasa di bawah akta ini perlu menjalankan tugas-tugas seperti berikut :
Membantu mangsa keganasan rumahtangga memfailkan aduan berkenaan dengan keganasan rumahtangga itu.
Mengadakan atau mengaturkan pengangkutan bagi mangsa ke kediaman alternatif atau tempat selamat atau tempat berlindung sekiranya perlu.
Mengadakan atau mengaturkan pengangkutan bagi mangsa itu ke hospital atau tempat kemudahan perubatan yang terdekat bagi rawatan kecederaan sekiranya rawatan itu diperlukan oleh mangsa.
Menjelaskan kepada mangsa hak mendapatkan perlindungan.
Menemankan mangsa ke kediaman mangsa itu atau kediaman sebelumnya untuk mengambil barang-barang kepunyaannya.
Baca ini juga: Cara Untuk Move On
Perkhidmatan Yang Disediakan:
Permohonan Tempat Selamat
Permohonan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO)
Permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO)
Permohonan Perintah Perlindungan (PO)
Perkhidmatan Kaunseling
Cara Permohonan Secara Atas Talian
Pemohon/mangsa boleh menghantar aduan/permohonan secara atas talian di sini. Bagi tujuan tersebut, pengguna perlu mendaftar sebagai pengguna terlebih dahulu.
Setelah mendaftar, masukkan maklumat peribadi, maklumat berkaitan aduan dan laporan polis yang berkaitan.
Setelah menghantar permohonan, pemohon akan dihubungi oleh pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat berdasarkan maklumat daerah/negeri yang dimasukkan.
Pemohon boleh menghubungi Talian Kasih 15999 untuk bantuan SEGERA
Sumber: https://www.malaysia.gov.my/portal/content/28911?language=my, Akhbar Berita Harian
Foto: Pexels