Cara betul simpan kentang lepas dikupas kulit | Kentang sudah dikupas kulit, jika dibiarkan lama terdedah udara, mudah isinya menjadi lebam.
Tidak cantik apabila mahu dimasak.
Sebab itulah, pesan orang lama-lama. Sebaik kupas kentang, rendam kentang dalam air. Kalau dibiarkan sehari sekalipun, isinya masih lagi elok dan boleh digunakan.
Simpan kentang yang sudah dikupas kulit ini pun ada caranya. Jadi, sementara belum mahu digunakan bolehlah disimpan dahulu. Cara sebegini membantu anda simpan kentang tahan lama dari biasa.
Elak Pilih Kentang Bertunas
Semasa membeli kentang, elakkan dari memilih kentang yang sudah bertunas. Apatah lagi, jika kentang itu sudah berubah warna menjadi kehijauan.
Kentang ini pun sebenarnya ada banyak jenisnya. Jika hendak tahu kentang yang digunakan masih elok dan sesuai untuk dimakan anda perlu memerhatikan permukaannya.
Jika sudah berubah kehijauan dan bertunas, elakkan dari mengambilnya ya. Kenapa kentang dah bertunas ini bahaya. Kerana pada batang tunas kentang ada unsur kimia yang boleh menyebabkan keracunan.
Dikhuatiri bila termakan akan menyebabkan sakit perut dan sakit kepala. Bukan saja kentang ya, lobak merah malah bawang bombay pun kalau dah bertunas tidak baik untuk dimakan.
Baca : Rendang padang, tambah kentang dan telur puyuh untuk kelainan
Tapi, takkan nak buang kentang yang dah bertunas macam itu sebanyak-banyaknya kan. Kalau lah kentang di rumah itu sudah bertunas, maka semasa membersihkannya buang kesemua tunas dan bahagian kentang yang berwarna hijau.
Ambil saja isi kentang yang masih berwarna kuning lembut itu.
Kentang yang kuning lembut itu bolehlah buat resepi kentang yang sedap malah dicampur dengan bahan masakan lainnya.
Cara Betul Simpan Kentang Lepas Dikupas Kulit
Proses membersihkan kentang juga memerlukan cara yang betul. Agar anda tidak terdedah kepada masalah keracunan yang diakibatkan oleh makanan.
Anda boleh mencuba cara menyimpan kentang dikupas ini sebagaimana yang dikongsikan wikiHow.
- Ambil kentang-kentang yang akan dimasak atau dikupas. Masukkan ke dalam bekas berlubang. Cucilah bersih kesemuanya di bawah laluan air paip. Guna air paip dingin saja pun dah memadai sebenarnya.
- Sediakan bekas berisi air sejuk dan kupaslah kentang seperti biasa.
- Setiap kali selesai mengupas kentang, masukkan kentang ke dalam bekas air sejuk tadi.
- Anda boleh juga potong kentang kecil ikut saiz yang dimahukan atau biarkan kentang bulat sebiji sebiji. Kentang yang diparut tidak boleh disimpan dengan cara yang dikongsikan ini ya. Sebab kentang ini mudah menyerap air. Kalau dah diparut, bayangkan sajalah nanti kesannya.
- Jika mahu disimpan, titiskan sedikit perahan lemon atau cuka ke dalam bekas air berisi kentang tadi. Tujuannya untuk memelihara kesegaran kentang yang bakal disimpan nanti.
- Kemudian, bolehlah tutup bekas tadi dengan plastic wrap kemas-kemas.
- Simpanlah dalam peti sejuk di rumah anda itu ya.
- Jika mahu menyimpan untuk tempoh sejam dua, tak perlulah dimasukkan ke dalam peti sejuk. Cukup sekadar meletakkannya di ruangan dapur.
- Jika mahu simpan kentang lebih dari sehari, pastikan anda menggantikan airnya. Kerana, kentang yang terendam itu airnya boleh berubah menjadi keruh. Sebaiknya, janganlah simpan lebih dari 24 jam.